Soal Jawab: Bolehkah Suami Isteri Mandi Junub Bersama?
2
Soalan: As salamulaikum...minta maaf saya ingin bertanya, bolehkah suami dan isteri mandi bersama selepas berjimak?..saya tak tau pasal nih, suami saya kata tak boleh sebab nak sucikan diri dan nanti mandi hadas tu tak sah sebab bersentuhan...mohon pendapat.....terima kasih...
Jawapan oleh:
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad
Assalamualaikum.
Terima kasih kepada puan yang bertanya.
Pertama kita perlu melihat syarat sah mandi wajib atau mandi junub ialah niat dan meratakan air keseluruh badan. Tidak disyaratkan tiada bersentuhan dengan orang lain. Maka jelas bersentuhan ketika mandi junub bukanlah satu larangan syara’. Bahkan Rasulullah juga bersentuhan dengan isterinya ketika mandi bersama.
Sayugia diketahui bahawa mandi-manda bersama suami isteri adalah merupakan amalan Rasulullah bersama isteri-isterinya ‘Aisyah R.A dan Ummu Salamah R.A. Tidak terhenti kepada mandi biasa, bahkan mereka pernah mandi junub bersama.
Terdapat berbagai riwayat berkaitan peristiwa ini.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan yang bermaksud :
"Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)" (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)
Hadis ini menunjukkan bagaimana indahnya kehidupan Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.
Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;
"Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub." (Sahih Muslim : 482)
Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti lain yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah menceritakan, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah mesranya Rasulullah SAW.
Selain itu, sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurau senda, dan berseronok. Rasulullah saw sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-senda. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239).
Diharap persolan puan telah terjawab. WALLAHU ‘A’LAM.
www.panduansuamisteri.blogspot.com
www.vixgooriginal.com @ www.richberries.biz