Showing posts with label Masalah Suami. Show all posts

Kisah Rumahtangga: Suami Bercinta Dengan JANDA

3


[SOALAN]

SAYA mohon identiti saya dirahsiakan umum kerana saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dalam masalah rumah tangga saya ini. Perkongsian ini sekadar untuk meleraikan segala kekusutan di hati yang kian sarat seakan tidak tertanggung lagi.

Saya dan suami telah berkahwin selama dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel dan sempurna sifatnya.

Kami berdua terpaksa hidup berjauhan dan tinggal berasingan kerana tuntutan kerja sejak berkahwin. Saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan manakala suami bekerja sendiri dengan menguruskan perniagaannya.

Pada awal perkahwinan suami tidak pernah berungut untuk tiap-tiap minggu balik berjumpa dengan saya. Selepas empat bulan bernikah saya disahkan hamil, lalu bermulalah episod hitam dalam hidup saya.

Sepanjang mengandung dan menjaga diri sendiri di fikiran saya suami di sana mencari rezeki untuk kebahagiaan saya dan anak yang bakal lahir nanti. Itu hanyalah kata-kata manis untuk saya memujuk diri dan hati yang derita.

Suami berubah sikap dari seorang yang mengambil berat dan selalu menghubungi menerusi panggilan telefon atau mesej, kini semakin sepi.

Sejak kebelakangan itu dia lupa akan kehadiran saya dalam hidupnya, hinggakan pada suatu hari saya menghantar sms pun dia tidak balas. Kadang-kadang jam 3 pagi saya bangun dari tidur saya akan belek telefon bimbit melihat kalau-kalau ada mesej dan panggilan daripada suami.

ALLAH itu maha adil dan pada suatu hari suami tertinggal telefon bimbit di rumah dan pada masa yang sama ada sms daripada seseorang. Tanpa berfikir panjang saya membaca sms tersebut. Hancur luluh hati saya membaca SMS berbunyi “SEHARIAN U TAK CALL, SMS I, MCM I NI TAK WUJUD DLM HIDUP U”.

Pada malam tersebut saya menangis. Perempuan mengandung sangat sensitif dan perlukan kasih sayang seorang suami. Selepas peristiwa tersebut suami terus membuat kata kunci telefon bimbit dengan alasan tidak mahu saya tahu apa-apa mengenai dia. Saya benar-benar kecewa.

Sewaktu kandungan saya sembilan bulan, saya didatangi perempuan tersebut yang mengakui telah menjalin hubungan dengan suami malah hubungan mereka sudah lebih dari suami isteri.

Menggeletar tubuh yang sarat mengandung ini. Suami saya juga telah pun mengaku dengan alasan kami berjauhan.

Kenapa dia tak beritahu dari awal? Bukankah hubungan kami boleh diselamatkan tanpa perlu dia berlaku curang?

Pada saya, ini hanya alasan suami membenarkan kesalahan yang dia buat. Saya amat kecewa dengan perbuatannya. Saya bersalin seorang diri di hospital. Saya sedih dengan pengorbanan yang tidak dihargai.

Saya tidak minta pengorbanan saya dibayar cukuplah sekadar menghargai. Sering kali saya meminta penceraian daripada suami tetapi bila memandangkan wajah anak kecil, saya jadi kasihan kepadanya yang membesar tanpa seorang bapa. Suami saya pernah berkata tidak akan menceraikan saya selagi saya tidak serahkan anak kepadanya.

Suami sekarang sedang teruskan hubungan dengan janda tersebut manakala saya terlontar sepi seorang diri menjadi ibu dan ayah kepada anak tunggal kami. Saya telah ke pejabat agama mendapatkan nasihat dengan membawa segala bukti-bukti. Alhamdulillah hati sedikit tenang.

Malah saya juga bercadang untuk berpindah tempat kerja agar dapat duduk sebumbung dengan suami.

Tetapi, soalannya adakah suami akan berubah hati? Dan kembali kepada saya dan anak?

Bagaimana saya mahu menambat hatinya semula sedang hati saya sakit? Saya masih sayangkan suami dan rumah tangga ini dan selalu berdoa suami kembali ke pangkal jalan. - Su, Johor.


Apa Kata Pakar oleh Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, Motivator

Cari kekuatan diri, tawan suami


Memang benar, apabila berjauhan kebanyakan suami akan ‘terlupa’, apatah lagi jika ia digoda. Dalam kes ini, meskipun suami anda bersalah, janda yang menggoda suami anda itu lebih bersalah. Perbuatan dia menyerahkan diri telah menyebabkan suami anda lebih terlena.

Mungkin juga dia tidak tahu lelaki yang dikenalinya pada masa itu adalah suami orang dan bakal bergelar ayah. Membina sebab ‘luar kotak’ membantu anda positifkan minda, memanglah hati sakit tetapi kita kena cari sebanyak-banyak sebab untuk memujuk hati kita sendiri bukan?

Saat begini siapalah yang akan kisahkan diri kita?

Kalau kita bercerita pada orang pun belum tentu orang itu bersimpati kepada kita, apalagi hendak memberikan pertolongan.

Memujuk hati sendiri dengan mempositifkan minda ini sangat baik untuk kesan kesihatan yang berpanjangan, sebab apabila mental sakit, ia mengakibatkan spiritual turut sakit, akhirnya melarat kepada fizikal turut mendapat kesannya.

Silalah berpindah tempat kerja supaya keadaan dapat dipulihkan sebelum melarat menjadi lebih kronik.

Andainya suami mampu sememangnya anda tidak perlu bekerja pun. Bukankah tugas mencari rezeki adalah kewajipan suami? Islam tidak melarang wanita bekerja tetapi andainya disebabkan bekerja itulah timbul macam-macam masalah, ia bukanlah bijak lagi.

Jika anda tanya bolehkah suami berubah hati, tiada siapa yang dapat menjawabnya secara tepat kecuali diri suami itu sendiri serta ALLAH yang Maha Mengetahui, namun sebagai insan yang mahukan yang terbaik dalam hidup, ia adalah salah satu usaha yang paling utama untuk diberikan perhatian.

Mengikut pengalaman saya menangani kes-kes seperti ini, seseorang suami yang sudah terkalih itu boleh ditawan semula melalui;

- Kembali hidup sebumbung. Maklumlah orang yang sudah terkalih tentulah yang dekat lebih diingatinya berbanding yang jauh walaupun yang jauh itu nyata lebih baik dan lebih cantik. Ini bermakna keputusan anda mengasingkan diri hidup berdua bersama anak adalah silap kerana tanggungjawab membesarkan anak bukan sepenuhnya tertanggung ke atas bahu anda sahaja, suami anda turut bertanggungjawab.

- Bertekadlah memberikan layanan A1. Mengapa agaknya dia terpikat kepada janda berkenaan, tentunya sebab janda itu dilihatnya lebih menarik. Seorang janda tentu sudah hilang seri pada wajah dan bentuk badan, tetapi kelakuan yang manja-manja juga adalah antara sebab-sebabnya mengapa seseorang itu tunduk. Bagaimana anda hendak bermanja-manja jika berjauhan?

- Memang boleh menghantar SMS atau Whatapps suara, tapi tentu tidak sama dengan berdepan sahaja.

- Hubungan seksual yang luar biasa mestilah dipersembahkan dalam setiap proses-proses ‘keintiman’. Seorang suami bukan hanya terpikat oleh apa yang sedia ada pada isterinya, juga bakat-bakat terpendam yang boleh menyebabkannya tersenyum dan riang serta sering teringat-ingat. Saya harap anda faham apa yang saya maksudkan.

- Anak adalah pengikat kasih, jika tinggal satu rumah keletah anak akan membuatkan hati terhibur lantas kasih sayang suami isteri dapat diterapkan. [sinarharian]


Perkara Yang Boleh Merosakkan Penikahan

0

PERKARA YANG BOLEH MEROSAKKAN PERNIKAHAN

A. Suami :

1. Suami tidak menjadi pemimpin dengan baik akibatnya saling melukai.

2. Suami gagal menjadikan isteri no satu dalam hidupnya.

3. Suami suka membandingkan isteri dengan wanita lain.

4. Suami kurang kontrol emosi

5. Suami gagal memuji hal-hal kecil yang dilakukan Isteri.

6. Suami tidak terima pendapat Isteri.

7. Suami tidak pernah minta maaf ketika berbuat salah.

B. Isteri :
1. Isteri tidak menghargai Suami sebagai ketua rumah tangga.
2. Isteri gagal menundukkan diri kepada Suami.
3. Isteri gagal menampilkan sopan santun
4. Isteri gagal menunjukan rasa syukur kepada Suami.
5. Isteri suka membantah ucapan suami.

C. keperluan seorang Suami :
1. Nafkah batin (tempat tidur).
2. Isteri sebagai sahabat.
3. Rumah yang bersih dan rapi.
4. Isteri yang sentiasa senyum.
5. Saling menghargai.

D. Keperluan seorang Isteri :
1. Kasih sayang dan dihargai.
2. Diajak berbincang di waktu kusut.
3. Jujur dan terbuka serta setia.
4. Dicukupkan keperluan sehari-harinya.
5. Komitmen terhadap keluarga.

Ingat..Ketua keluarga yang berjaya dalam mengurus keluarga maka kejayaan yang lain akan mengikuti.Ketua keluarga yang gagal dalam keluarga maka kegagalan yang lain pun akan mengikuti.

Kebahagiaan pernikahan memerlukan perjuangan yang tidak kenal lelah,dan memerlukan kehadiran dan pertolongan Allah.

Berbahagialah mereka yang benar-benar menikmati hidup rumah tangga yang aman dan damai,meskipun itu harus diperoleh dengan cucuran air mata.

Belaian tangan suami adalah ibarat emas bagi isteri.
Senyum manis sang isteri adalah permata bagi suami.
Kesetiaan suami adalah mahkota bagi isteri.
Keceriaan isteri adalah ibarat permata di hati suami.

Perbaikilah apa yang perlu diperbaiki sekarang sebelum terlambat.
Cintailah pasangan yang telah dipilih-Nya untuk hidupmu.

Bagi yang belum Menikah..Semoga ini boleh menjadi bekal kelak
Semoga kita boleh menjadi Suami Soleh dan Isteri Solehah.

Isteri Kecewa Suami Gila Bayang Dengan Isteri Orang

1
Saya sudah berumah tangga lebih daripada lapan tahun. Mahligai kami memang membahagiakan. Saya mempunyai dua anak dan bakal menerima seorang lagi awal tahun depan. Saya memulakan kerjaya di selatan tanah air.

Berkat doa dan rasa cinta pada suami, saya berpindah ke utara bagi memenuhi tanggungjawab sebagai isteri yang sepatutnya sentiasa berada di sisinya. Hampir tiga tahun kami duduk bersama, tiada rintangan dan kami bahagia. Malangnya kasih saya pada suami tergugat dengan kehadiran orang ketiga.

Dia bekas rakan sekolah suami. Punah harapan saya. Berkali-kali saya mohon pada suami agar kembali setia tapi dia menolak. Lebih sedih apabila memikirkan suami merancang bernikah dengannya sungguhpun tahu wanita itu masih isteri orang.

Puas saya berdoa, manakala rakan banyak memujuk dan menyuruh saya bersabar. Saya kecewa dia langsung tak pernah memikir kesusahan yang saya alami sewaktu kami bersama. Suami kerap marah apabila saya menyebut mengenai wanita itu.

Saya tak pernah curang, malah apa juga kemahuan suami saya turutkan. Saya tertekan dengan keadaan ini seperti ‘habis madu sepah dibuang’. Mungkin Dang Setia boleh memberikan nasihat pada suami saya agar dia dapat memahami sebelum segala-galanya terlambat.

Gambar Hiasan


IDA
Sungai Petani, Kedah


Dugaan puan sungguh besar apabila pada saat memerlukan suami, dia pula bermain cinta dengan bekas rakan sekolahnya. Tambahan pula apabila puan mengambil pendekatan menasihati suami, dia enggan mendengar kerana sudah gila bayang dengan kekasih hati.

Bagi Dang Setia, cinta suami pada kekasihnya yang masih isteri orang itu amat tidak rasional dan hanya godaan nafsu semata-mata. Perbuatan suami bukan saja menjejaskan kehidupan puan sekeluarga, tetapi banyak hati yang terbabit.

Perbuatan mencintai isteri atau suami orang punca kepada keruntuhan dan kehancuran rumah tangga sesebuah keluarga, dan amat dimurkai Rasulullah SAW yang digambarkan menerusi hadis:

“Bukan dalam kalangan kami (umat nabi Muhammad) orang yang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya” (Riwayat Abu Daud : 2175)

Justeru, puan perlu lebih sabar mengendalikan kecurangan suami. Dalam situasi ini, dia seakan-akan sudah angau dan dilamun cinta terlarang menyebabkan puan dan anak-anak disisihkan.

Puan perlu bijak memujuk serta menarik perhatian suami untuk memberi tumpuan kepada keluarga. Selain itu, sedarkan suami dengan perasaan sayang puan terhadapnya. Hangatkan kembali hubungan dengan kenangan ketika bercinta serta berdoa agar memberi kekuatan kepada puan terus sabar menghadapinya.

Kisah Benar Isteri Tidak Pernah Disentuh Suami!!!

0
TUBUH SAYA TIDAK PERNAH DISENTUH SUAMI | ADA sesuatu tentang dia yang gagal saya kesan meski pun telah berkenalan bertahun-tahun lamanya. Zahirnya perkahwinan kami nampak bahagia di pandangan keluarga dan sahabat handai.

Tapi di sebalik senyuman manis dan kebahagiaAn itu, terselit duka yang akhirnya membawa kepada penceraian.

Sukar dinyatakan puncanya, perkahwinan yang berusia setahun lebih yang cuba dipertahankan akhirnya kecundang jua.
                                              Mia, 30, Selangor  Gambar Hiasan

Saya dan suami membina hubungan atas dasar cinta yang membawa kami ke gerbang perkahwinan.

Namun, saya tidak menyangka suami tidak dapat menjalankan kewajipan dengan sempurna.

Sebagai isterinya yang sah saya tidak pernah menerima hak batin yang sepatutnya dia berikan.

Kesibukan tugas si suami sering kali diberikan alasan, dan hampir enam bulan berumah tangga, saya masih belum disentuhnya.

Hanya doa dan air mata, penguat semangat. Kehidupan kami sebagai suami isteri seolah-olah ‘berpura-pura’.

Kelihatan bahagia di depan orang, sedangkan asing di rumah sendiri. Sering kali apabila ditanya, bila akan menimang zuriat saya hanya tersenyum kelat.

Saya hanya mampu memberikan jawapan, rezeki belum tiba lagi. Hanya ALLAH SWT memahami apa yang saya rasakan. Kepada keluarga kedua belah pihak, saya cuba rahsiakan. Bimbang mengaibkan suami.

Pada awalnya, saya memikirkan yang suami mempunyai masalah kesihatan dan sebab itu dia seringkali mengelak dengan memberi pelbagai alasan. Oleh sebab itu, saya cuba mencari alternatif sendiri dengan mendapatkan khidmat ustaz yang boleh merawat.

Saya juga berusaha membawa suami mendapatkan nasihat doktor pakar. Namun, ikhtiar saya mendapat reaksi negatif suami.

Pelbagai alasan diberikan. Akhirnya, segala usaha hanya sia-sia. Suami mula berubah tingkah laku. Dia tidak pulang ke rumah dengan alasan kerja lebih masa.

Pembohongan demi pembohongan, katanya kursus sana sini. Alasan yang kadang kala tidak masuk akal. Saya mula hilang sabar.

Penat dengan kerenah dia yang tidak cuba menyelesaikan masalah, sebaliknya mengusutkan lagi keadaan kami.

Setahun lebih memandam perasaan, saya nekad ke pejabat agama. Sesi kaunseling antara kami diharapkan dapat menyelamatkan hubungan.

Sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, dia bernafsu terhadap lelaki. Saya akhirnya redha. Puas saya berusaha, tapi ini balasannya. Mungkin perkahwinan ini tiada ertinya bagi dia lagi.

Akhirnya saya nekad bercerai. Jika diteruskan lagi, hidup saya akan lebih derita.
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah.

Tuntutan-tuntutan itu ialah, tuntutan mutaah, tuntutan nafkah eddah, tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak), tuntuan nafkah anak, tuntutan harta sepencarian dan tunggakan hutang.

Bagaimanapun, tuntutan tuntutan ini tertakluk kepada syarat dan kebenaran Mahkamah Syariah selepas melalui prosedur tertentu yang ditetapkan mahkamah.

Si isteri boleh membuat rujukan kepada pihak-pihak sepatutnya untuk mendapatkan maklumat dan prosedur permohonan, sama ada menerusi lantikan peguam atau ke pejabat ugama berdekatan.

Dalam hal puan tadi, yang mana mempunyai suami yang cenderung kepada lelaki dan tidak mampu memberikan nafkah batin kepada si isteri, isteri wajar meminta cerai.

Sekiranya suami setuju cerai cara biasa tidak ada masalah bagi kedua-dua pihak. Namun, sekiranya suami tidak setuju menceraikan isteri, isteri boleh membuat permohonan fasakh di mahkamah.

Dan alasan itu (suami tidak pernah sentuh) adalah alasan kukuh untuk mahkamah membenarkan permohonan cerai.

Dari segi tuntutan, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira mengenai tuntutan apakah yang boleh dibuat isteri.

Dalam kes ini, isteri yang tidak disentuh suami bererti masih anak dara. Oleh yang demikian isteri tidak mempunyai tempoh edah ketika bercerai.

Isteri tidak perlu menjalani edah selama tempoh tiga bulan seperti disyariatkan agama sebaliknya bebas dinikahi pada bila-bila masa selepas bercerai.

Isteri boleh membuat tuntutan mutaah atau saguhati perkahwinan daripada suami. Dan sekiranya dalam tempoh selama perkahwinan suami tidak pernah memberi nafkah kepada isteri, isteri boleh menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suami melalui mahkamah.

Begitu juga dengan soal harta sepencarian. Isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian daripada suami.

APA KATA PAKAR, 
Datuk Amli Embong, Peguam Syarie

www.panduansuamisteri.blogspot.com

Dialog Perkara Suami Tak Suka Isteri Buat

2

Antara perkara-perkara yang kebanyakan suami tak suka isteri buat
Adakah anda isteri yang tergolong dalam golongan ini?


(Disertakan dialog spontan isteri atau suami)

1. Kacau suami yang sedang tengok tv
Isteri: Abang tengah buat apa tu, mari lah tengok sini bang, gigi depan anak kita dah tumbuh.

2. Alihkan barang suami
Suami: Yah,laptop abang atas peti sejuk ni mana Yah? janganlah alih-alihkan barang abang, susah abang nak cari.

3. Banyak bertanya, termasuklah bertanya perkara yang remeh-temeh
Isteri: Bang, abang rasa jerawat Mah atas hidung ni nak dipecahkan ke tak?

4. Memesan suami membeli barang dalam perjalanan pulang dari pejabat

(lepas tu banyak sangat songehnya)
Isteri: Hello,bang, serbuk kunyit dah habis lah,abang tolong belikan ya, jangan lupa tau bang, , beli serbuk kunyit cap adabi ya jangan beli cap allagapas, tak kuning sangat. Eh satu lagi, ubat gigi pun habis. Beli jenama Geli, jangan beli Darlie, ingat tau bang.

5. Menceritakan rahsia suami kepada orang lain.
Isteri : Sebenornya suami saya tu banyak bisul kadang kadang tumbuh tang perut, kadang-kadang tumbuh tang punggung.

6. Ketawa dan bercakap kuat di telefon (terutama di hadapan orang ramai)
Suami: Awak kalau bercakap kat telefon suara macam raksaksa nak beranak. Malu saya.

7. Berpakaian selekeh
Suami: Ini baju ke kelambu yang awak pakai ni?

8. Mengejut suami yang sedang tidur
Suami: Awak ni, saya baru tidur 10 jam, awak dah kejutkan, kalau saya tak cukup tidur macam mana? Saya juga yang mengantuk.Kalau saya mengantuk, siapa yang susah,?awak juga yang susah.

9. Berleter siang malam, pagi petang
Suami: Abang rasa baik Kiah masuk pertandingan pidato, mesti Kiah Johan
Isteri; Memang Kiah nak masuk ni, abang apa tau, Kiah penat tau, kiah bla,,,,bla,,,bla
(Bila nak habis da...)

10. Menghalang pandangan suami yang sedang menonton televisyen
Suami: Amboi,cantiknya punggung dok tayang-tayang depan tv!

11. Membuka bungkusan barang di pasaraya
Isteri: Cepat bang, orang tak nampak, bukak le plastik baju ni cepat, ayang nak tengok. (isteri macam ni ade ye?)

12. Pergi rumah adik-beradik perempuan tak tau nak balik-balik
Suami: Yam, abang rasa lain kali, bawaklah tilam batal kat rumah adik awak, senang, boleh cerita sampai pagi.



www.panduansuamisteri.blogspot.com

Tips Atasi Suami Panas Baran

1

Untuk melembutkan hati suami yg garang dan menurunkan kadar suhu 'panas baranannya' amalkan seperti:

1) Banyakan berdoa selepas solat, hadiahkan Al-Fatihah khusus untuk suami supaya dilembutkan hatinya dan diberi taufik serta hidayah.

2) Baca surah Taha ayat 1-8..dan kemudian baca doa Nabi Daud sebanyak 3x - "Ya ALLAH lembut kan hati suamiku (sebut nama)... sebagaimana Engkau lembutkan besi ditangan Nabi Daud"

3) Ketika memasak basahkan lidah dengan zikir Ya-Latif sebanyak 129x di ikuti Surah As-Syura ayat 19 bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hambaNya. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”

4) Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Bila suami sedang naik angin dan marahnya meluap-luap, diamkan diri jangan dijawab. Dalam mendiamkan diri bacalah doa didalam hati dgn ayat:

1) Dari Surah Al-Baqarah ayat 250 yg bermaksud – “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah iman kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.

2) Dan bacakan ayat 200, surah Ali Imran yg bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

3) Begitu juga, amalakan Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah.

Syaitan memang suka mengapi-apikan suami yang sedang marah.. Silap sedikit, isteri jadi sasaran suami yg naik berang. Bila suami naik berang, bacalah ayat ini:

1) Surah Al-Nahl ayat 99 yang bermaksud “ Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.

Noted:
Ajaklah suami menghadiri majlis ilmu dan keugamaan supaya diberi jalan keluar untuk muhasabah diri, dengarkan ceramah-ceramah motivasi dan ugama supaya timbul kesedaran untuk memperbaiki peribadi. 
Bila Allah ingin memberi kebaikan pada hambaNya, Dia akan nampakkan kekurangan-kekurangan pada hambaNya. Jika kita sedar akan kekurangan kita dan ingin berubah, Insyaallah ada jalan keluar. 
Sebagaimana yang pernah saya dengar dari guru-guru ugama, jika kita tidak menghadirkan diri untuk majlis ilmu selama 40 hari, hati akan menjadi keras dan susah nak terima hidayah.

Janganlah berputus asa, jadikan doa cara berkesan membentuk peribadi suami dan anak-anak. Doa itu senjata mukmin. Wallahu’alam.


Sumber:facebook.com