Showing posts with label soal jawab keluarga. Show all posts

Soal Jawab: Bolehkah Suami Isteri Mandi Junub Bersama?

2



Soalan: As salamulaikum...minta maaf saya ingin bertanya, bolehkah suami dan isteri mandi bersama selepas berjimak?..saya tak tau pasal nih, suami saya kata tak boleh sebab nak sucikan diri dan nanti mandi hadas tu tak sah sebab bersentuhan...mohon pendapat.....terima kasih...


Jawapan oleh:

Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Assalamualaikum.

Terima kasih kepada puan yang bertanya.

Pertama kita perlu melihat syarat sah mandi wajib atau mandi junub ialah niat dan meratakan air keseluruh badan. Tidak disyaratkan tiada bersentuhan dengan orang lain. Maka jelas bersentuhan ketika mandi junub bukanlah satu larangan syara’. Bahkan Rasulullah juga bersentuhan dengan isterinya ketika mandi bersama.

Sayugia diketahui bahawa mandi-manda bersama suami isteri adalah merupakan amalan Rasulullah bersama isteri-isterinya ‘Aisyah R.A dan Ummu Salamah R.A. Tidak terhenti kepada mandi biasa, bahkan mereka pernah mandi junub bersama.

Terdapat berbagai riwayat berkaitan peristiwa ini.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan yang bermaksud :

"Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)" (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)

Hadis ini menunjukkan bagaimana indahnya kehidupan Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;

"Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub." (Sahih Muslim : 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti lain yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah menceritakan, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah mesranya Rasulullah SAW.

Selain itu, sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurau senda, dan berseronok. Rasulullah saw sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-senda. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239).

Diharap persolan puan telah terjawab. WALLAHU ‘A’LAM.
Sumber: IKRAM


www.panduansuamisteri.blogspot.com


www.vixgooriginal.com @ www.richberries.biz

Soal Jawab: Hukum Suami Hisap Payudara Isteri?

2



Soalan: Apakah hukum seorang suami gemar menghisap payu dara isteri sambil terminum susunya sewaktu melakukan hubungan seks. Ini kerana suami amat gemar melakukan perbuatan tersebut dan si isteri juga menikmatinya. Pada masa yang sama, si isteri menyusukan anak perempuan berusia 10 bulan.

Jawapan: Persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan menjadi halal melalui pernikahan yang sah. Nikah yang sah menjadi portfolio untuk mengadakan persetubuhan. Islam menghalalkannya dengan nikah dan mengharamkannya bagi mereka yang tidak bernikah.

Melalui perkahwinan tertunailah segala keinginan seorang lelaki dan keinginan seorang wanita. Fitrah semulajadi manusia telah dilengkapkan dengan keinginan ini. Mereka yang hidup dengan menahan dan mengorbankan keinginan fitrah nafsunya berhadapan dengan pelbagai masalah di antaranya; psikologi yang terganggu, ketidakstabilan emosi, seterusnya membawa masalah dalam kehidupan seharian.

Dalam hal ini, Islam memberi ruang untuk seseorang itu menikmati keinginan nafsunya dengan izin syarak. Namun sebagai hamba yang diciptakan untuk mematuhi perintah Allah maka cara dan etika dalam mengadakan hubungan suami isteri perlu dijaga.

Ini kerana jimak juga dikira sebagai ibadat. Dalam surah al-Baqarah, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud,Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

Dalam ayat ini Allah s.w.t. menggambarkan sebagai ladang atau kebun itu dengan tatacara yang beradab, walaupun ayat ini menyatakan datanglah kepada isteri-isteri kamu mengikut kamu suka. Mengikut al-Raghib al-Asfahani, makna kebun itu adalah tempat kamu menanam benih zuriat kamu. Al-Jauhariy menegaskan bahawa kebun dalam ayat ini adalah satu perumpamaan” manakala Ibn Abbas r.a. berpendapat: “siramlah tanaman kamu di mana ia boleh tumbuh”.

Allah memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak. Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab. Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang menjimak dubur isteri dan lain-lain.

Mengenai persoalan terminum susu isteri ketika bersetubuh sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Harus menghisap payu dara isteri ketika berjimak, tetapi jika isteri dalam tempoh menyusukan anak adalah lebih baik tidak menghisapnya sampai terminum susu dari tubuh isteri. Ini kerana mungkin mulut si suami boleh membawa kuman dan anak yang menghisap susu itu boleh terdedah kepada sebarang jangkitan kuman.

Perkara yang kedua ialah susu itu hak si anak dan bukan hak si suami. Walaupun dengan meminum susu si isteri tidak menjadikan lelaki itu bapa susuan. Sekiranya perbuatan suami itu membawa mudarat kepada bayi dengan jangkitan kuman atau susu berkurangan, maka hukumnya haram.


www.panduanintim.blogspot.com

Soal Jawab: Tuntut Nafkah Suami `Ghaib'

1


Bulan depan genap setahun perkahwinan saya dan suami. Untuk pengetahuan, sudah hampir lima bulan kami tinggal berasingan.

Selepas berkahwin, saya dan suami tinggal di rumah orang tua saya. Suami mula berubah selepas empat bulan berkahwin apabila dia sering balik lewat dan kadang kala tidak balik ke rumah.

Sepanjang perkahwinan, suami tidak pernah memberi nafkah kepada saya kecuali jika saya membuka mulut dan meminta wang, malah semasa meninggalkan saya, dia tidak berusaha mencari dan bertanyakan khabar saya.

Selama setahun ini, saya bersabar melayan sikap dia kerana tidak mahu menjadi isteri yang derhaka dan berusaha memulihkan keadaan rumah tangga kami.

Tetapi nampaknya hanya saya saja cuba pertahankan sedangkan suami lepas tangan dan sibuk dengan aktiviti motosikal.

Kini, tahap kesabaran saya semakin goyah dan ingin memfailkan perceraian.

Saya tidak mampu untuk bersabar lagi dan bertahan dengan sikap lepas tangannya.

Kami sudah berbincang dan menyelesaikan masalah ini secara baik agar proses perceraian berjalan lancar dan tidak membuang masa.

Justeru, saya ingin tahu bagaimana untuk membuat tuntutan nafkah selama perkahwinan kami.

Aiza, Melaka

Jawapan

Nafkah isteri menjadi tanggungjawab dan kewajipan suami sebaik saja sah akad nikah antara mereka.

Rasulullah SAW mengingatkan golongan suami mengambil berat tanggungjawab itu terhadap isteri menerusi sabdanya yang bermaksud: "Takutilah kamu akan Allah dalam urusan kaum wanita, sesungguhnya kamu mengambil mereka (sebagai isteri kamu) dengan amanah daripada Allah dan Dia menghalalkan kamu menggauli isteri kamu dengan perintahnya maka hendaklah kamu menafkahkan mereka dan memberi pakaian kepada mereka dengan cara yang maaruf".

Daripada hadis itu, dapat difahami bahawa menafkahkan isteri adalah sesuatu yang difardukan ke atas setiap suami tanpa mengira keturunan dan kedudukan isterinya, sama ada lebih tinggi atau kaya dari suaminya.

Namun, kadar nafkah itu hendaklah mengikut kemampuan seseorang suami.

Suami yang bertanggungjawab ialah suami yang sentiasa mengambil berat keperluan isterinya dari semua aspek seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian, kemudahan pengangkutan dan perubatan.

Sudah menjadi keutamaan bagi suami untuk membelanjakan harta bendanya untuk menyempurnakan tanggungjawab terbabit dengan rela hati tanpa diminta berbuat demikian.

Hak seseorang isteri untuk mendapatkan nafkah suami tidak akan gugur selagi mana wujud ikatan perkahwinan itu dan mahkamah tidak mensabitkan sebagai isteri yang nusyuz. Jika berlaku tunggakan, puan boleh menyenaraikan perbelanjaan pada bulan yang tertunggak dengan bukti pembelian sekiranya ada.

Selanjutnya, puan boleh mengemukakan tuntutan itu ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah pembayaran melalui Mahkamah Syariah. Oleh Datuk Zaidi Zain



www.bicararumahtangga.blogspot.com

Soal Jawab: Suami Suka Pukul Isteri, Tak Peduli Rumahtangga

1


Apakah tanggungjawab suami terhadap isteri. Bagaimana pandangan Islam mengenai suami yang bertindak kasar dan ganas, selalu memukul isteri, tidak mempedulikan rumah tangga, makan minum isteri dan selalu membawa wanita lain serta melakukan perkara yang menyakitkan hati isteri. Harap dapat penjelasan.

_________________________________________________________________________

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Tanggungjawab suami terhadap isteri sangat banyak dan berat kerana suami menerima amanah Allah SWT menjaga keselamatan isteri, memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan seluruh keperluan hidupnya sehari-hari, zahir dan batin.

Sahabat Rasulullah SAW, Muawiah Haidah menemui Baginda bertanya mengenai tanggungjawab suami terhadap isteri. Baginda SAW menjawab dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah bila engkau makan, hendaklah engkau beri makan untuk isteri engkau. Bila engkau memakai pakaian, hendaklah engkau beri pakaian untuk isteri engkau. Janganlah engkau pukul isteri engkau di bahagian muka. Janganlah mengeluarkan perkataan yang jahat, iaitu perkataan yang dibenci di depannya. Engkau jangan tinggalkan isteri seorang diri kecuali di dalam rumah.

Sikap suami yang suka memukul, tidak mempedulikan rumah tangga, tidak menyempurnakan makan minum isteri dan selalu membawa perempuan lain adalah suami yang tidak bertanggungjawab dan khianat terhadap isteri.

Sahabat Rasulullah SAW, Umar al-Ahwas al-Jasyami mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika mengerjakan Haji Wada (Haji Selamat Tinggal). Sabda Baginda SAW dalam riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: Ingat, hendaklah kamu terima pesanan mengenai perempuan. Bergaullah kamu dengan mereka secara baik dan berlemah lembut. Sesungguhnya perempuan itu adalah tawanan kamu. Kamu tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap mereka kecuali mereka melakukan kejahatan (penderhakaan) berterus terang. Jika mereka melakukan perbuatan terbabit, maka tinggalkan tempat tidur mereka seorang diri. Dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak memberi bahaya. Tetapi jika mereka berlaku taat kepadamu, jangan kamu melakukan apa-apa tindakan kepada mereka. Ingat, sesungguhnya kamu terhadap isteri kamu mempunyai hak yang tertentu dan isteri kamu pula terhadap kamu mempunyai hak yang tertentu juga. Maka hak kamu terhadap mereka, bahawa isteri kamu tidak menghamparkan tilam kamu kepada orang yang kamu benci dan tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Ingat, hak isteri ke atas kamu ialah kamu berbuat baik terhadap mereka mengenai pakaian dan makan minum dengan cukup dan sempurna.

Salah faham dan kesilapan perkara biasa dalam rumah tangga. Bererti suami tidak berhak untuk menumbuk, menampar dan memukul isteri menggunakan sebarang benda yang boleh mendatangkan sakit yang melampau. Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ibnu Saad yang bermaksud: Patutkah seseorang kamu memukul isterinya seperti seseorang memukul hamba abdinya, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia berasa malu.

Begitu juga dalam hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abdullah Zamah, Rasulullah SAW bersabda: Jangan memukul isteri kamu seperti memukul seorang hamba abdi, kemudian menyetubuhinya pula pada malam hari.

Sungguh memalukan sekiranya memukul isteri pada siang hari dengan pukulan yang berat, kemudian apabila tiba malam, menyetubuhinya pula. Justeru, kembalilah kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah apabila berlaku masalah seperti disebut dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.

Oleh kerana Allah telah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas perempuan dan juga kerana lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka, maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz), hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil), pulaukan mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha besar.

Demikianlah, wallahualam.

~ Ustaz Zahazan ~ 


www.panduansuamisteri.blogspot.com

Soal Jawab: Jangan Cabar Ego Suami Ketika Menegur

1
Usah cabar ego suami ketika menegur

 

Apa hukumnya sering kali ada perasaan benci, menyampah dan menyumpah dalam hati terhadap suami walaupun bukan dizahirkan.

Segalanya dari dalam hati kerana perkara dilakukannya amat menyakitkan hati. Contohnya, dia suka maki hamun orang lain tetapi tidak boleh terima apabila saya menegur.

Dia juga suka merokok dalam rumah sedangkan dia tahu saya tidak suka bau asap rokok. Saya sudah beberapa kali menegurnya.

Disebabkan puas menegur namun tiada perubahan, saya hanya diam bersabar. Tetapi perasaan negatif terhadap dia berlaku dalam hati saya. Adakah saya berdosa?

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perkahwinan adalah alam realiti yang mencabar dan tidak seindah zaman bertunang atau bercinta. Justeru apabila berkahwin, mahu atau tidak seorang itu telah bersetuju menerima baik buruknya dan memperbaiki kelemahan masing-masing.

Kerana itu tidak adil untuk seorang isteri mencari kelemahan dan kekurangan suami dan menjadikannya alasan untuk menyimpan perasaan benci kepadanya.

Perlu menilai diri sendiri

Sebelum seorang pasangan menghukum pasangannya yang lain, dia perlu menilai bahawa dia juga mempunyai kekurangan yang mungkin dibenci pasangannya.

Justeru, bagaimana seorang isteri yang penuh kebencian terhadap suaminya dapat menegur kesalahannya tanpa prejudis. Saya menasihatkan kepada golongan isteri supaya muhasabah diri sendiri dan bersihkan hati daripada kebencian terhadap suami yang sepatutnya dikasihi dan dihormati.

Jika masih ada perasaan negatif seperti ini, teguran terhadap suami pasti tidak ikhlas dan hanya mencetuskan persengketaan dalam rumah tangga.

Selepas selesai isu hati, barulah fikirkan bagaimana mahu menegur suami dengan kasih sayang bukan dendam.

Jangan mencabar ego suami

Dalam banyak keadaan, lelaki yang bernama suami sangat besar egonya. Jadi jangan sesekali mencabar ego mereka ketika menegur. Sebaiknya pilih masa yang sesuai ketika suami paling tenang dan tidak kepenatan. Selepas makan malam dan ketika berehat-rehat.

Elakkan menggunakan bahasa sindiran dan jangan menegur kesalahannya di hadapan anak-anak atau orang lain.

Sekiranya puan tidak pandai menyusun ayat yang baik dan lembut, boleh saja menulis emel atau guna khidmat pesanan ringkas (SMS). Gunakan perkataan yang baik dan lembut agar dia tidak terasa hati. Insyallah sekiranya niat ikhlas mahu memperbaiki akhlak suami dan dengan cara yang betul, lama kelamaan dia boleh berubah.



www.bicararumahtangga.blogspot.com

Soal Jawab: Tiga Bulan Ditinggal Suami

0

Tiga bulan ditinggal suami

Suami memfailkan perceraian terhadap saya sewaktu usia kandungan mencecah tiga bulan.

Sebelum memfailkan perceraian, suami keluar dari rumah dan tinggal bersama ibu bapanya namun seminggu selepas itu, barulah saya menyedari saya hamil.

Saya memberitahunya keadaan itu tetapi dia tidak mempercayainya. Kami mempunyai dua anak lelaki.

Bolehkah saya menuntut hak penjagaan anak sebelum kami disahkan bercerai di Mahkamah Syariah?

Untuk pengetahuan tuan, sudah tiga bulan suami meninggalkan saya tetapi baru dua kali dia datang melawat anak-anaknya dan hanya sekali memberi nafkah.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Undang-undang keluarga Islam memberi hak yang jelas kepada ibu sebagai penjaga (hadhinah) ke atas anak-anaknya yang masih kecil ataupun belum mumayyiz, sama ada dalam tempoh perkahwinan mahupun selepas perceraian.

Walau bagaimanapun, jika terdapat pertikaian mengenai hak penjagaan ini seperti pihak bapa juga berhasrat untuk mendapatkan penjagaan anak-anak atas alasan tertentu, maka satu perintah yang menentukan hadhinah anak-anak hendaklah diperoleh daripada Mahkamah Syariah bagi mengelakkan perebutan yang tidak berkesudahan antara ibu dan bapa anak-anak itu.

Bagi seorang ibu yang memenuhi syarat sebagai hadhinah tidak perlu risau dengan perebutan yang berlaku.

Ini kerana mahkamah pada kebiasaannya akan menyerahkan hak penjagaan anak kepada ibu berdasarkan kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Antara perkara yang menjadi pertimbangan mahkamah ialah pegangan agama, akhlak, keadaan persekolahan, tempat tinggal anak-anak, taraf perkahwinan, kesihatan mental dan kemampuan fizikal untuk menjaga anak-anak.

Jika perkara itu dipenuhi si ibu, maka hak penjagaan anak-anak akan jatuh kepadanya.

Pihak bapa pula akan diberikan peluang melawat dan menghabiskan masa bersama anak-anak mengikut masa yang ditentukan.

Dalam kes puan, saya berpendapat elok puan dapatkan perintah mengenai penjagaan anak-anak seberapa segera yang boleh bagi mengelakkan suami puan membawa lari anak-anak seperti yang banyak berlaku ketika ini.

Jika keadaan itu berlaku, ini akan menyulitkan lagi situasi hingga terpaksa berulang-alik ke mahkamah untuk mendapatkan anak-anak kembali.

Bagi memulakan kes tuntutan hadhanah ini, puan perlu hadir sendiri ke Mahkamah Tinggi Syariah di tempat puan bermastautin dan memfailkan kes dengan bayaran yang ditetapkan.

Puan dan pihak suami akan dipanggil untuk menyatakan pendiriannya mengenai tuntutan itu. Jika tiada persetujuan, suatu perbicaraan penuh akan dimulakan.

Sebaliknya jika ada persetujuan, mahkamah akan merekodkan persetujuan itu sebagai perintah mahkamah yang wajib dipatuhi semua pihak.

Mengenai isu nafkah pula, puan boleh segera membuka fail di Mahkamah Rendah Syariah tempat puan menetap.

Bagi meyakinkan tuntutan nafkah anak-anak adalah bertepatan dengan keperluan anak-anak, puan hendaklah kemukakan secara jelas butiran kos perbelanjaan disertakan bukti mengenai perbelanjaan itu.

Tindakan ini boleh dimulakan sama ada puan sudah memperoleh perintah penjagaan ataupun belum.

Oleh Datuk Zaidi Zain



www.bicararumahtangga.blogspot.com

Soal Jawab: Wali Enggan Menikahkan Anak

1


Wali enggan menikahkan anak


Soalan
Kakak saudara saya ingin mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan sendiri. Bagaimanapun wali enggan menikahkan anaknya. Apa tindakan yang boleh dilakukan?

Jawapan

Pernikahan sah adalah dengan mematuhi dan memenuhi semua syarat dan rukun pernikahan iaitu; pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi lelaki dan juga ijab Kabul (akad nikah tersebut).

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 11, suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut hukum syarak, untuk menjadikannya sah. Setiap pasangan Muslim di negara ini yang ingin berkahwin perlu mengetahui prosedur perkahwinan menurut Undang-undang Keluarga Islam Negeri tempat menetap masing-masing.

Prosedur ini adalah perlu untuk memastikan perkahwinan yang dilaksanakan adalah bertepatan dengan undang-undang yang berkuat kuasa. Ini kerana perkahwinan yang dilaksanakan mengikut prosedur yang betul sahaja akan diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang sekiranya berlaku apa-apa di kemudian hari.

Kebelakangan ini, banyak isu berkenaan dengan bapa yang enggan untuk menjadi wali, lalu si anak ambil keputusan untuk kahwin lari tanpa kebenaran dengan terpaksa membelakangkan keluarga dan mengetepikan undang-undang sedia ada.

Dalam konteks perkahwinan, wali adalah seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menikahkan bakal isteri dengan bakal suaminya.

Daripada Abi Musa RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali’. (Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)

Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan. Wali turut terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu : wali mujbir, aqrab, ab’ad dan wali raja / hakim.

Faktor perlu wali hakim


Sebagai seorang bapa, beliau adalah wali mujbir iaitu wali yang mempunyai kuasa mewalikan perkahwinan anak perempuannya atau cucu perempuannya dengan persetujuannya atau tidak. Sekiranya wali enggan untuk menikahkan pengantin perempuan maka bolehlah menggunakan wali hakim.

Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) Wali Hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab.

Antara faktor yang dibenarkan untuk menggunakan wali hakim adalah seperti berikut;


1. Tidak ada wali nasab.
2. Anak tidak sah taraf atau anak angkat.
3. Wali yang ada tidak cukup syarat.
4. Wali aqrab menunaikan haji atau umrah.
5. Wali enggan.

Dalam kes di mana seorang bapa yang tiada alasan munasabah enggan menikahkan anaknya, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan. Kalangan pihak terutama si anak haruslah duduk berbincang dan faham serta mengerti mengapa seorang ayah itu enggan.

Jarang si ayah ingin melihat anaknya menderita. Seorang ayah akan melindungi si anak dan melihat kepentingan dan kebajikan anaknya dalam perkara hal sebegini.

Sebagai seorang bapa, hendaklah beliau duduk berbincang dan terangkan sebab mengapa calon pilihan anaknya tidak dipersetujui. Seorang bapa hendaklah berfikiran matang dan bertanggungjawab dalam setiap perbuatannya.

Golongan fuqaha sependapat wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga perkara yang tidak boleh ditangguhkan iaitu: solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya”. (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim)

Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.

Bincang cara baik


Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi’e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang akan menikahkannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”. (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Satu contoh dapat dilihat dalam kes Azizah binti Mat lawan Mat bin Salleh berkenaan dengan wali enggan, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, Azizah berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan
Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.

Seperti tertulis di dalam Seksyen 13 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan; sekiranya wali enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.

Dalam perkara ini setelah berbincang dengan keluarga, sekiranya tidak boleh diselesaikan secara baik, si anak boleh membuat permohonan untuk bernikah menggunakan wali hakim.

Sebagai seorang bapa juga haruslah bertimbang rasa dan prihatin terhadap anaknya. Bapa hendaklah cuba berfikiran matang dan boleh bertolak ansur sekiranya pilihan si anak tidak mendatangkan kemudaratan yang besar ke atas anak itu.

Kaedah fiqh menyatakan hendaklah dihapuskan kemudaratan yang besar. Sebagai contoh dalam kes ini haruslah diambil kira sekiranya anak tidak dibenarkan bernikah dengan pilihannya, pelbagai kemudaratan boleh timbul seperti kahwin sempadan, kahwin lari dan melakukan maksiat.

Permohonan boleh dilakukan di mahkamah syariah berhampiran tempat tinggal masing-masing dengan mengisi borang dan disertakan dengan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan dan lain-lain yang perlu.

Selain itu, pemohon perlu memfailkan notis permohonan, afidavit dan bayaran pendaftaran akan dikenakan. Pemohon boleh merujuk kepada peguam untuk sebarang nasihat dan tindakan lanjut sekiranya difikirkan perlu.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua tetapi perjalanan panjang dalam kehidupan. Oleh itu kedua–dua belah pihak seharusnya cuba untuk bekerjasama dalam memastikan perkara yang disamakan dengan perbuatan mendirikan masjid ini berjalan sempurna.

Sebagai seorang anak pula, berbincanglah cara baik dengan ibu bapa kerana walau apa jua sekalipun merekalah yang menjaga dan membesarkan kita daripada sekecil tapak tangan sehingga dewasa.

Soal Jawab Guaman oleh Datuk Khairul Anwar Rahmat, Pengerusi Sukarelawan Peguam untuk Semua (Sukaguam)


www.panduansuamisteri.blogspot.com

Bolehkah Roh Suami Kembali Meniduri Isterinya Yang Masih Hidup?

0
Soalan: Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.
Hamimah Abdullah
Banting, Selangor.
Jawapan:
Puan,
Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.”
Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.
Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”
Ayat al-Quran lain ada menyebut,
“Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”
Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.
Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.
Dipetik dari kitab: “Menjawab Persoalan Makhluk Halus: Kaitannya Dengan Penyakit Dan Pengubatan – Bersama Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din”.

www.panduansuamisteri.blogspot.com