Showing posts with label Rumahtangga. Show all posts

APA ITU HARTA SEPENCARIAN?

2


APA ITU HARTA SEPENCARIAN?

Berdasarkan seksyen 2 Enakmen undang-undang keluarga islam (negeri Selangor) 2003 menyatakan :"“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak"

BAGAIMANAKAH PENENTUAN KADAR PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN?

Penentuan mengenai kadar pembahagian Harta Sepencarian telah dinyatakan di bawah peruntukkan Seksyen 122 Enakmen yang sama iaitu :-

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.

Soal Jawab: Suami Suka Pukul Isteri, Tak Peduli Rumahtangga

1


Apakah tanggungjawab suami terhadap isteri. Bagaimana pandangan Islam mengenai suami yang bertindak kasar dan ganas, selalu memukul isteri, tidak mempedulikan rumah tangga, makan minum isteri dan selalu membawa wanita lain serta melakukan perkara yang menyakitkan hati isteri. Harap dapat penjelasan.

_________________________________________________________________________

Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Tanggungjawab suami terhadap isteri sangat banyak dan berat kerana suami menerima amanah Allah SWT menjaga keselamatan isteri, memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan seluruh keperluan hidupnya sehari-hari, zahir dan batin.

Sahabat Rasulullah SAW, Muawiah Haidah menemui Baginda bertanya mengenai tanggungjawab suami terhadap isteri. Baginda SAW menjawab dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah bila engkau makan, hendaklah engkau beri makan untuk isteri engkau. Bila engkau memakai pakaian, hendaklah engkau beri pakaian untuk isteri engkau. Janganlah engkau pukul isteri engkau di bahagian muka. Janganlah mengeluarkan perkataan yang jahat, iaitu perkataan yang dibenci di depannya. Engkau jangan tinggalkan isteri seorang diri kecuali di dalam rumah.

Sikap suami yang suka memukul, tidak mempedulikan rumah tangga, tidak menyempurnakan makan minum isteri dan selalu membawa perempuan lain adalah suami yang tidak bertanggungjawab dan khianat terhadap isteri.

Sahabat Rasulullah SAW, Umar al-Ahwas al-Jasyami mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika mengerjakan Haji Wada (Haji Selamat Tinggal). Sabda Baginda SAW dalam riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: Ingat, hendaklah kamu terima pesanan mengenai perempuan. Bergaullah kamu dengan mereka secara baik dan berlemah lembut. Sesungguhnya perempuan itu adalah tawanan kamu. Kamu tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap mereka kecuali mereka melakukan kejahatan (penderhakaan) berterus terang. Jika mereka melakukan perbuatan terbabit, maka tinggalkan tempat tidur mereka seorang diri. Dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak memberi bahaya. Tetapi jika mereka berlaku taat kepadamu, jangan kamu melakukan apa-apa tindakan kepada mereka. Ingat, sesungguhnya kamu terhadap isteri kamu mempunyai hak yang tertentu dan isteri kamu pula terhadap kamu mempunyai hak yang tertentu juga. Maka hak kamu terhadap mereka, bahawa isteri kamu tidak menghamparkan tilam kamu kepada orang yang kamu benci dan tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Ingat, hak isteri ke atas kamu ialah kamu berbuat baik terhadap mereka mengenai pakaian dan makan minum dengan cukup dan sempurna.

Salah faham dan kesilapan perkara biasa dalam rumah tangga. Bererti suami tidak berhak untuk menumbuk, menampar dan memukul isteri menggunakan sebarang benda yang boleh mendatangkan sakit yang melampau. Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ibnu Saad yang bermaksud: Patutkah seseorang kamu memukul isterinya seperti seseorang memukul hamba abdinya, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia berasa malu.

Begitu juga dalam hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abdullah Zamah, Rasulullah SAW bersabda: Jangan memukul isteri kamu seperti memukul seorang hamba abdi, kemudian menyetubuhinya pula pada malam hari.

Sungguh memalukan sekiranya memukul isteri pada siang hari dengan pukulan yang berat, kemudian apabila tiba malam, menyetubuhinya pula. Justeru, kembalilah kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah apabila berlaku masalah seperti disebut dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.

Oleh kerana Allah telah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas perempuan dan juga kerana lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka, maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz), hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil), pulaukan mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha besar.

Demikianlah, wallahualam.

~ Ustaz Zahazan ~ 


www.panduansuamisteri.blogspot.com

Soal Jawab: Jangan Cabar Ego Suami Ketika Menegur

1
Usah cabar ego suami ketika menegur

 

Apa hukumnya sering kali ada perasaan benci, menyampah dan menyumpah dalam hati terhadap suami walaupun bukan dizahirkan.

Segalanya dari dalam hati kerana perkara dilakukannya amat menyakitkan hati. Contohnya, dia suka maki hamun orang lain tetapi tidak boleh terima apabila saya menegur.

Dia juga suka merokok dalam rumah sedangkan dia tahu saya tidak suka bau asap rokok. Saya sudah beberapa kali menegurnya.

Disebabkan puas menegur namun tiada perubahan, saya hanya diam bersabar. Tetapi perasaan negatif terhadap dia berlaku dalam hati saya. Adakah saya berdosa?

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Perkahwinan adalah alam realiti yang mencabar dan tidak seindah zaman bertunang atau bercinta. Justeru apabila berkahwin, mahu atau tidak seorang itu telah bersetuju menerima baik buruknya dan memperbaiki kelemahan masing-masing.

Kerana itu tidak adil untuk seorang isteri mencari kelemahan dan kekurangan suami dan menjadikannya alasan untuk menyimpan perasaan benci kepadanya.

Perlu menilai diri sendiri

Sebelum seorang pasangan menghukum pasangannya yang lain, dia perlu menilai bahawa dia juga mempunyai kekurangan yang mungkin dibenci pasangannya.

Justeru, bagaimana seorang isteri yang penuh kebencian terhadap suaminya dapat menegur kesalahannya tanpa prejudis. Saya menasihatkan kepada golongan isteri supaya muhasabah diri sendiri dan bersihkan hati daripada kebencian terhadap suami yang sepatutnya dikasihi dan dihormati.

Jika masih ada perasaan negatif seperti ini, teguran terhadap suami pasti tidak ikhlas dan hanya mencetuskan persengketaan dalam rumah tangga.

Selepas selesai isu hati, barulah fikirkan bagaimana mahu menegur suami dengan kasih sayang bukan dendam.

Jangan mencabar ego suami

Dalam banyak keadaan, lelaki yang bernama suami sangat besar egonya. Jadi jangan sesekali mencabar ego mereka ketika menegur. Sebaiknya pilih masa yang sesuai ketika suami paling tenang dan tidak kepenatan. Selepas makan malam dan ketika berehat-rehat.

Elakkan menggunakan bahasa sindiran dan jangan menegur kesalahannya di hadapan anak-anak atau orang lain.

Sekiranya puan tidak pandai menyusun ayat yang baik dan lembut, boleh saja menulis emel atau guna khidmat pesanan ringkas (SMS). Gunakan perkataan yang baik dan lembut agar dia tidak terasa hati. Insyallah sekiranya niat ikhlas mahu memperbaiki akhlak suami dan dengan cara yang betul, lama kelamaan dia boleh berubah.



www.bicararumahtangga.blogspot.com

Kisah Rumahtangga: Isteri Disetubuhi Jin

0


Panggilan yang diterima lewat malam itu benar-benar memberi kesan. Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana asyik memikirkan potongan ayat lelaki tersebut.

“Isteri saya enak disetubuhi jin, sedangkan saya keseorangan di sofa ruang tamu dengan hanya ditemani nyamuk-nyamuk yang menggila seolah-olah mengejek-ejek diri saya," ungkap pemanggil tersebut.

Teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya telah mengaturkan satu pertemuan dengan pemanggil tersebut. Ridzwan, 31, (bukan nama sebenar) telah berjaya mengubah dimensi saya tentang kewujudan alam lain di muka bumi ini.

Melihat secara luaran, perwatakan Ridzwan sama seperti lelaki-lelaki lain malah dia kelihatan kemas dan segak, sesuai dengan profesionnya sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat terkemuka. Nyata telahan saya tersasar kerana menyangka Ridzwan seorang lelaki yang tidak terurus ekoran masalah yang sedang dialaminya itu.

“Tujuan saya berkongsi pengalaman ini bukanlah mahu membuka aib keluarga mahupun isteri saya, tetapi amat berharap agar perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada suami-suami yang mungkin menerima nasib yang sama seperti saya tetapi masih tertanya-tanya apakah musibah yang sedang melanda mereka," ujar Ridzwan membuka bicara.

Menurut Ridzwan, peristiwa ini berlaku lima tahun lalu selepas usia perkahwinan mereka mencecah tiga tahun. Menurutnya, keganjilan yang mula melanda isterinya itu berlaku sekembalinya mereka dari percutian di Tawau, Sabah kerana mengikutinya bekerja di luar kawasan.

Kesempatan bekerja di kawasan itu telah dimanfaatkan oleh mereka untuk terus pergi bercuti. Apatah lagi mereka masih belum dikurniakan anak setelah tiga tahun berkahwin menyebabkan mereka sentiasa mengisi setiap kesempatan yang ada untuk bersama.

“Sejak pulang dari Tawau, isteri saya mula berubah perangai setiap hari selepas pukul 10 malam. Pada mulanya, saya tidak menyangka apa-apa kerana dia sendiri mengakui kadang-kadang mood seseorang itu sentiasa berubah-berubah. Namun, keadaan itu berpanjangan sehinggalah tiga bulan," ujar Ridzwan lagi.

Apa yang ganjilnya, isterinya di waktu siang berkelakuan normal sahaja seperti biasa. Dia amat suka jika Ridzwan sentiasa merapatkan dirinya dan saling bersentuhan, malah dia jugalah yang sentiasa merangsang Ridzwan supaya melayaninya pada malam hari.

Namun setelah jam menunjukkan pukul 10 malam, isterinya itu terus tidur dan memalingkan diri ke arah bertentangan dengannya.

“Pernah sekali saya cuba juga untuk bermesra dengannya sambil membelai-belai rambut dan memeluknya dari belakang namun dia menepis tangan saya sambil mendengus," tambah Ridzwan sambil pandangan matanya dilemparkan jauh-jauh seolah-olah cuba menyembunyikan perasaanya hiba.

Pernah juga mereka bertengkar pada malam tersebut kerana isterinya seolah-olah tidak rela disentuh oleh Ridzwan dan menganggap seolah-olah suaminya itu cuba untuk merogolnya. Setiap malam juga Ridzwan akan kecewa dan membawa dirinya tidur berseorangan di ruang tamu rumah mereka.

Seperti biasa, pada sebelah pagi, isterinya akan bangun dengan begitu segar sekali dan penuh bersemangat. Dia seringkali memberitahu Ridzwan bahawa perasannya setiap kali bangun seolah-olah mereka telah bersama pada malam tersebut.

Hal ini menyebabkan Ridzwan mulai curiga dan risau. Tidak mungkin isterinya itu curang kerana setiap malam isterinya akan pulang ke rumah dan di sebelah siangnya mereka adalah pasangan yang paling bahagia.

Isterinya juga sering mengadu yang seringkali melihat kesan lebam di pangkal paha setiap kali bangun tidur dan pada lebam itu terdapat lima lubang halus.

“Pada mulanya, saya tidak menghiraukan aduan yang dibuat oleh isteri saya itu dan menganggap mungkin itu hanyalah gigitan serangga di malam hari. Tambahan pula perasaan yang kecewa pada malam hari menyebabkan saya tidak menghiraukan aduan-aduan isteri saya itu," tambah Ridzwan.

Pernah juga dia terfikir untuk menjalankan hubungan sulit dengan perempuan lain, namun itu sekadar angan-angan kosong bagi menyedapkan hati kerana jauh di sudut hatinya, dia terlalu sayangkan isterinya itu.

Keadaan ini berlarutan sehingga mencecah hampir setahun.

Untuk mengatasi masalah tersebut, Ridzwan terpaksa mendatangi isterinya pada waktu siang sebelum ke pejabat kerana menganggap isterinya hanya bernafsu pada waktu itu.

Disebabkan keadaan ini menyebabkan isterinya semakin lama semakin susut tubuhnya dan matanya mulai cengkung seolah-olah tidak mendapat rehat yang secukupnya walhal isterinya tidur nyenyak seawal pukul 9 malam dan tidak akan diganggu.

Pernah juga Ridzwan membawa isterinya berjumpa doktor, namun doktor mengesahkan yang isterinya sihat dan hanya menasihat supaya memperbanyakkan rehat.

Semakin hari isterinya mula mengalami kemurungan dan tidak seceria dulu. Dia semakin menjadi pasif, takut untuk berhadapan dengan orang ramai, rendah diri, tiada keyakinan dan prestasi kerjanya mula merosot.

Ridzwan cuba mendapatkan ikhtiar lain dengan cara menggunakan pendekatan rawatan secara Islam.

Perjumpaan dengan seorang ustaz yang terkemuka di ibu kota telah merungkaikan segala persoalan yang selama ini tidak terfikir oleh Ridzwan.

Menurut ustaz tersebut, isterinya itu sedang didampingi oleh jin dan menyetubuhinya setiap malam dan semakin lama jin itu semakin ketagih.

Ketika proses perubatan dilakukan, Ridzwan melihat sendiri bagaimana interaksi antara ustaz tersebut dengan jin yang menumpang dalam badan isterinya.

“Jin tersebut mula terpikat dengan isteri saya semasa mereka menginap di sebuah hotel di Tawau dan ketika itu isteri saya sedang mandi berbogel di dalam bilik air hotel tersebut. Sejak itu jin berkenaan mula mendampingi isteri saya dan amat benci kepada saya dan inginkan kami berpisah," tambah Ridzwan.

Namun, kecekalan hati Ridzwan serta rasa cintanya terhadap isteri menyebabkan mereka berjaya mengekalkan hubungan tersebut walaupun seringkali bercakaran.

Setelah pertemuan demi pertemuan diadakan dengan ustaz tersebut selama sebulan, akhirnya jin itu berjaya dikeluarkan dan isterinya itu kembali normal dan ceria seperti biasa. Kini perhubungan Ridzwan dan isterinya kembali normal.

Nasihat Ridzwan, jika terdapat sebarang tingkah laku atau perbuatan-perbuatan ganjil yang dilakukan oleh seorang isteri, segera mendapatkan rawatan sama ada secara moden atau Islam.

“Jangan pandang ringan akan hal ini kerana mungkin akan membawa kemudaratan jika dibiarkan berpanjangan. Ramai dalam kalangan isteri seringkali tidak menyedari yang dirinya telah ditiduri dan dirogol oleh jin akibat mengabaikan doa sebelum tidur sebagai pelindung diri. Ini akan menyebabkan jin mudah masuk ke dalam tubuh dan mendampingi mereka tanpa disedari.

“Naluri seorang isteri adalah sentiasa berkehendakkan layanan suaminya, dan jika dia mula menolak, mungkin ada sesuatu yang mengganggu dirinya. Mungkin yang mengganggu itu datangnya dari alam lain, ataupun yang mengganggu itu datangnya dari alam kita sendiri," kata-kata terakhir Ridzwan yang mendalam mengakhiri pertemuan tersebut. [Utusan]



Petua Untuk Elak Pergaduhan Rumahtangga

0
 
Petua Untuk Elak Pergaduhan Rumahtangga

1. Jangan Merajuk - sebaik baiknya apabila bergaduh , jangan suka merajuk. Merajuk tidak berguna sama sekali untuk tujuan menyelesaikan masalah sebaliknya membuatkan masalah anda menjadi lebih buruk apabila si suami tidak peduli dengan rajukan anda.

2. Jangan Menghukum - Menghukum tidak akan menyelesaikan masalah dan tidak langsung menolong prose berdamai malah hanya akan mempercepatkan proses kerosakan hubungan. Jadi , kalau benar masih ada niat berdamai , jangan terlalu menghukum.

3. Jangan Mencari Salah - Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian mendapati wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan. Adalah lebih baik apabila anda mengambil masa dan meneliti kekurangan diri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada pasangan.

4. Mulakan Pendamaian - Sekiranya anda benar benar mahukan perdamaian , ambil langkah pertama untuk berdamai. Andai kata pasangan anda itu menolak usaha anda kerana dia mmg tidak mahu berdamai , itu tidak menjadi isu besar. Sekurang kurangnya kita telah berusaha untuk berdamai. Jadi kita tidak berasa bersalah lagi atas alasan kurang usaha ..

5. Kenalpasti Punca Masalah - Tujuannya bukanlah untuk mengungkit tetapi untuk mengelakkannya pada masa depan

Perancangan Kehidupan Berumahtangga

0

Suami hendaklah merancang kehidupan rumahtangga dan melaksanakan dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.

1. Mencari tempat tinggal yang selesa.

2. Menentukan sumber rezeki yang halal bagi menang¬gung nafkah isteri dan anak-anak dan masa depan keluarga.

3. Berbincang suami isteri tentang perjalanan hidup berumahtangga dan rancangan pembangunan keluarga.

4. Mengenal pasti kerja-kerja dalam rumahtangga dan cara melaksanakan mengikut bidang tugas suami atau isteri atau tugas bersama.

5. Mengatur waktu untuk bekerja dan untuk melaksana¬kan tugas-tugas di rumah dan dalam masyarakat dan waktu untuk bermesra.

6. Memikirkan cara-cara perhubungan yang serasi dan harmoni antara suami isteri.

7. Mengenal pasti perkara yang digemari dan tidak di¬gemari oleh suami atau isteri berlandaskan hukum Islam.

8. Membuat persediaan untuk menghadapi kehadiran anak-anak dalam keluarga dan merancang masa hadapan mereka.

9. Membina daya kreatif untuk mengekalkan ke¬mesraan, keharmonian dan keceriaan rumahtangga.

10. Meningkatkan kualiti keluarga supaya tercapai hasrat “Rumahku Syurgaku.”