Showing posts with label Masalah rumahtangga. Show all posts

Kisah Rumahtangga: Suami menganggur! Isteri Bekerja

3
CUBA tanya bakal pengantin perempuan, waima wanita atau remaja perempuan yang sedang dibuai cinta monyet sekali pun, adakah mereka mahu bersanding dengan lelaki tanpa kerja, atau dalam bahasa kasarnya, penganggur.

Percayalah jawapan 'tidak' lebih banyak di bibir mereka atau paling tidak dalam bahasa rocknya... 'OMG'... Hanya mereka yang sevel saja akan kata "aku akan terima akadnya, aku sedia sehidup semati dengannya..."

Begitulah, istilah menganggur sangat ditakuti mereka yang sudah tamat belajar, apatah lagi yang baligh dan ada hati mahu kahwin. Bagaimana mahu menyediakan mahar jika poket kosong, itu belum dikira hantaran serba satu yang diminta pihak perempuan.

Kalau kocek kempis, usahkan puteri raja, nak berangan seperti Mat Jenin pun belum tentu dapat. Namun, dalam kita menidakkan pertanyaan, pengangguran masih berlaku dalam masyarakat hari ini, sama ada yang belum kahwin atau sudah berkahwin.

Kesan ini lebih terasa kepada golongan lelaki. Ada yang kena pecat kerja, ada yang tahun ke tahun asyik mencari kerja tak dapat-dapat - konon tak sesuai dengan jiwa dan paling sadis ada yang tak suka bekerja, dia lebih suka melepak dan menghabiskan beras mak bapaknya @ yang sudah kahwin menghabiskan harta isteri.

Mentang-mentanglah isteri dia kaya! Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran merekodkan peratusan sebanyak 3.3 peratus pada Oktober 2013, meningkat 0.2 peratus berbanding 3.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Ini disebabkan peningkatan penduduk menganggur seramai 19,100 orang kepada 462,300 orang dan pada masa sama kesan daripada bilangan penduduk bekerja yang berkurang seramai 98,500 orang kepada 13.70 juta orang.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar pengangguran lebih tinggi sebanyak 0.1 mata peratus daripada 3.2 peratus pada Oktober 2012. Paparan ini satu daripada kajian oleh mereka yang arif.

Kita kena terima hakikat itu, namun bukanlah noktah kepada usaha mencari pekerjaan. Bagi sang isteri yang bersuamikan penganggur, cuba ajak bincang, dan suami pula jangan culas, jangan ambil kesempatan.

Tetapi bagi suami yang terpaksa menganggur kerana masalah kesihatan, di sinilah perlunya peranan isteri. Percayalah taat setia anda menjanjikan syurga firdausi. Redalah memikul tanggungjawab, akan ada bahagia di hujungnya nanti.

Bagaimanapun jika ada yang sangsi, suami buat derk, tak reti-reti nak cari kerja, siang malam baring tidur, bangun tahu makan je, bolehlah buat sesuatu... Opss... ini bukan saranan jahat...


PENGAKUAN 1: Tuntut cerai jika berlarutan
Saya kahwin agak lewat, ketika usia 33 tahun. Ya lah rupa pun tak ada, badan saiz XL, jadi apabila ada orang kenen-kenen dan berhajat, saya terima seadanya. Saya sendiri baharu dapat kerja tetap ketika itu.

Sebelumnya, kerja promoter sebuah syarikat telco. Walaupun tidak tetap, saya dapat hidup mewah kerana rajin buat jualan. Dek kejutan wang yang melimpah ruah, saya jadi lupa, kerap shopping dan sikap paling buruk apabila terlebih berbelanja dengan kad kredit.

Saya diisytihar muflis, terpaksa berhenti kerja - hidup menganggur sehinggalah dapat kerja baharu tersebut. Pendapatan taklah semewah kerja lama. Dengan gaji 'ciput' itu saya tamatkan zaman bujang.

Ketika dilamar saya sudah tahu bakal suami bukan orang senang dan berpelajaran. Dia hanya pemandu kontena sebuah syarikat pembekal besi. Dengan gajinya lebih kurang RM3,000 sebulan termasuk elaun, perkahwinan kami awalnya sangat bahagia, sehinggalah saya terpaksa berhenti kerja ibu saya sakit di kampung dan saya diharapkan oleh adik-beradik untuk jaga ibu, kononnya saya baru berkeluarga, belum ada tanggungan besar.

Saya ambil tanggungjawab tersebut dan tinggalkan suami di Kuala Lumpur, balik ke Perak jaga ibu, sekali-sekala suami balik atau saya yang turun ke Kuala Lumpur. Sejak itu jugalah saya bergantung pendapatan sepenuhnya daripada suami.

Pada awalnya semua berjalan lancar, suami beri duit setiap bulan, walaupun tak banyak - RM600, bagi saya itu sudah memadai dan memahami pekerjaan suami. Namun, makin lama kiriman berkurangan, malah ada ketika tertangguh.

Suami juga jarang balik. Lama-kelamaan, kiriman sudah tiada langsung. Saya cuba bertanya suami, dia beritahu syarikat ada masalah, tak ada barang nak dihantar, tak adalah duit. Saya mula bimbang keadaan ini dan cadangkan suami balik ke kampung, buat kerja-kerja kampung.

Suami setuju, dia berhenti kerja dan balik ke Perak. Namun sejak balik hingga sekarang, suami menganggur di rumah, bukan tak ada kerja kerana ibu saya ada kebun getah yang jika diusahakan boleh dapat hasil lebih kurang sama gaji memandu kontena. Saya sendiri sejak berhenti kerja ada buat bisnes kecil-kecilan jual nasi lemak.

Masalahnya suami mula tunjuk sikap malas kerja, dia beri alasan mahu rehat dulu. Sekarang saya seorang usahakan jualan nasi lemak, dia hanya makan tidur. Saya risau juga, apa kata adik-beradik yang lain, tapi suami buat tak faham.

Pernah saya nyatakan untuk berpisah jika dia tak mahu cari kerja, dia janji akan cari kerja sebab tak pandai buat kerja kampung. Sehingga sekarang saya masih menanti janji dia untuk cari kerja, saya nekad jika masih berlarutan, permintaan cerai kali kedua akan saya buat. - Masayu,35, Parit Buntar


PENGAKUAN 2: Suami terlantar empat tahun


Aku anggap ini dugaan hidup yang Tuhan tetapkan untuk aku dan anak-anak. Namun aku percaya suatu hari nanti, suami akan pulih dan dapat menjalankan tanggungjawabnya semula.

Aku tidak menyesali nasib, jauh sekali menidakkan takdir. Sudah tersurat suamiku diserang glaukoma akut menyebabkan matanya semakin sukar untuk melihat dan terpaksa berhenti kerja sejak 2009. Sejak itu jugalah aku ambil alih tanggungjawab suami bekerja menyara lima anak kami.

Gajiku bukanlah besar sangat, tapi bolehlah untuk menampung persekolahan anak-anak kami, namun dalam masa sama aku mengharapkan pendapatan sampingan sebagai bekal masa depan kami. Jadi, aku berniaga online menjual pakaian. Alhamdulillah rezeki ada di situ.

Aku tidak salahkan suami kerana tidak bekerja. Dengan sakit yang dia alami dan perlukan rawatan bulanan, dia kini sudah pasrah, berbanding ketika awal diserang glaukoma dulu. Dia berasa malu kerana perlu serah tugas keluarga kepada ku. Namun aku yakinkan dia, yang aku boleh galas tugas itu.

Setiap pagi sebelum ke tempat kerja aku menyuapkan suami makan, hantar anak ke sekolah dan nurseri dan bergegas ke tempat kerja. Kalau ikutkan aku mahu berhenti kerja tumpu sepenuhnya kepada niaga online tapi bimbang duit tidak cukup untuk tampung perubatan suami.

Aku harap rutin ini akan berubah suatu hari nanti, namun bukanlah aku menyesali nasib diri. Selagi terdaya aku akan setia di sisi suami. Kepada isteri-isteri di luar sana, jika anda diuji sepertiku, percayalah khidmat bakti anda kepada suami adalah lorong rezeki yang tak terduga Tuhan beri. - Masturiah,45, Bandar Baru Uda, Johor [sinarharian]


Kisah Rumahtangga: Suami Bercinta Dengan JANDA

3


[SOALAN]

SAYA mohon identiti saya dirahsiakan umum kerana saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dalam masalah rumah tangga saya ini. Perkongsian ini sekadar untuk meleraikan segala kekusutan di hati yang kian sarat seakan tidak tertanggung lagi.

Saya dan suami telah berkahwin selama dua tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang comel dan sempurna sifatnya.

Kami berdua terpaksa hidup berjauhan dan tinggal berasingan kerana tuntutan kerja sejak berkahwin. Saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan manakala suami bekerja sendiri dengan menguruskan perniagaannya.

Pada awal perkahwinan suami tidak pernah berungut untuk tiap-tiap minggu balik berjumpa dengan saya. Selepas empat bulan bernikah saya disahkan hamil, lalu bermulalah episod hitam dalam hidup saya.

Sepanjang mengandung dan menjaga diri sendiri di fikiran saya suami di sana mencari rezeki untuk kebahagiaan saya dan anak yang bakal lahir nanti. Itu hanyalah kata-kata manis untuk saya memujuk diri dan hati yang derita.

Suami berubah sikap dari seorang yang mengambil berat dan selalu menghubungi menerusi panggilan telefon atau mesej, kini semakin sepi.

Sejak kebelakangan itu dia lupa akan kehadiran saya dalam hidupnya, hinggakan pada suatu hari saya menghantar sms pun dia tidak balas. Kadang-kadang jam 3 pagi saya bangun dari tidur saya akan belek telefon bimbit melihat kalau-kalau ada mesej dan panggilan daripada suami.

ALLAH itu maha adil dan pada suatu hari suami tertinggal telefon bimbit di rumah dan pada masa yang sama ada sms daripada seseorang. Tanpa berfikir panjang saya membaca sms tersebut. Hancur luluh hati saya membaca SMS berbunyi “SEHARIAN U TAK CALL, SMS I, MCM I NI TAK WUJUD DLM HIDUP U”.

Pada malam tersebut saya menangis. Perempuan mengandung sangat sensitif dan perlukan kasih sayang seorang suami. Selepas peristiwa tersebut suami terus membuat kata kunci telefon bimbit dengan alasan tidak mahu saya tahu apa-apa mengenai dia. Saya benar-benar kecewa.

Sewaktu kandungan saya sembilan bulan, saya didatangi perempuan tersebut yang mengakui telah menjalin hubungan dengan suami malah hubungan mereka sudah lebih dari suami isteri.

Menggeletar tubuh yang sarat mengandung ini. Suami saya juga telah pun mengaku dengan alasan kami berjauhan.

Kenapa dia tak beritahu dari awal? Bukankah hubungan kami boleh diselamatkan tanpa perlu dia berlaku curang?

Pada saya, ini hanya alasan suami membenarkan kesalahan yang dia buat. Saya amat kecewa dengan perbuatannya. Saya bersalin seorang diri di hospital. Saya sedih dengan pengorbanan yang tidak dihargai.

Saya tidak minta pengorbanan saya dibayar cukuplah sekadar menghargai. Sering kali saya meminta penceraian daripada suami tetapi bila memandangkan wajah anak kecil, saya jadi kasihan kepadanya yang membesar tanpa seorang bapa. Suami saya pernah berkata tidak akan menceraikan saya selagi saya tidak serahkan anak kepadanya.

Suami sekarang sedang teruskan hubungan dengan janda tersebut manakala saya terlontar sepi seorang diri menjadi ibu dan ayah kepada anak tunggal kami. Saya telah ke pejabat agama mendapatkan nasihat dengan membawa segala bukti-bukti. Alhamdulillah hati sedikit tenang.

Malah saya juga bercadang untuk berpindah tempat kerja agar dapat duduk sebumbung dengan suami.

Tetapi, soalannya adakah suami akan berubah hati? Dan kembali kepada saya dan anak?

Bagaimana saya mahu menambat hatinya semula sedang hati saya sakit? Saya masih sayangkan suami dan rumah tangga ini dan selalu berdoa suami kembali ke pangkal jalan. - Su, Johor.


Apa Kata Pakar oleh Dr HM Tuah Iskandar al-Haj, Motivator

Cari kekuatan diri, tawan suami


Memang benar, apabila berjauhan kebanyakan suami akan ‘terlupa’, apatah lagi jika ia digoda. Dalam kes ini, meskipun suami anda bersalah, janda yang menggoda suami anda itu lebih bersalah. Perbuatan dia menyerahkan diri telah menyebabkan suami anda lebih terlena.

Mungkin juga dia tidak tahu lelaki yang dikenalinya pada masa itu adalah suami orang dan bakal bergelar ayah. Membina sebab ‘luar kotak’ membantu anda positifkan minda, memanglah hati sakit tetapi kita kena cari sebanyak-banyak sebab untuk memujuk hati kita sendiri bukan?

Saat begini siapalah yang akan kisahkan diri kita?

Kalau kita bercerita pada orang pun belum tentu orang itu bersimpati kepada kita, apalagi hendak memberikan pertolongan.

Memujuk hati sendiri dengan mempositifkan minda ini sangat baik untuk kesan kesihatan yang berpanjangan, sebab apabila mental sakit, ia mengakibatkan spiritual turut sakit, akhirnya melarat kepada fizikal turut mendapat kesannya.

Silalah berpindah tempat kerja supaya keadaan dapat dipulihkan sebelum melarat menjadi lebih kronik.

Andainya suami mampu sememangnya anda tidak perlu bekerja pun. Bukankah tugas mencari rezeki adalah kewajipan suami? Islam tidak melarang wanita bekerja tetapi andainya disebabkan bekerja itulah timbul macam-macam masalah, ia bukanlah bijak lagi.

Jika anda tanya bolehkah suami berubah hati, tiada siapa yang dapat menjawabnya secara tepat kecuali diri suami itu sendiri serta ALLAH yang Maha Mengetahui, namun sebagai insan yang mahukan yang terbaik dalam hidup, ia adalah salah satu usaha yang paling utama untuk diberikan perhatian.

Mengikut pengalaman saya menangani kes-kes seperti ini, seseorang suami yang sudah terkalih itu boleh ditawan semula melalui;

- Kembali hidup sebumbung. Maklumlah orang yang sudah terkalih tentulah yang dekat lebih diingatinya berbanding yang jauh walaupun yang jauh itu nyata lebih baik dan lebih cantik. Ini bermakna keputusan anda mengasingkan diri hidup berdua bersama anak adalah silap kerana tanggungjawab membesarkan anak bukan sepenuhnya tertanggung ke atas bahu anda sahaja, suami anda turut bertanggungjawab.

- Bertekadlah memberikan layanan A1. Mengapa agaknya dia terpikat kepada janda berkenaan, tentunya sebab janda itu dilihatnya lebih menarik. Seorang janda tentu sudah hilang seri pada wajah dan bentuk badan, tetapi kelakuan yang manja-manja juga adalah antara sebab-sebabnya mengapa seseorang itu tunduk. Bagaimana anda hendak bermanja-manja jika berjauhan?

- Memang boleh menghantar SMS atau Whatapps suara, tapi tentu tidak sama dengan berdepan sahaja.

- Hubungan seksual yang luar biasa mestilah dipersembahkan dalam setiap proses-proses ‘keintiman’. Seorang suami bukan hanya terpikat oleh apa yang sedia ada pada isterinya, juga bakat-bakat terpendam yang boleh menyebabkannya tersenyum dan riang serta sering teringat-ingat. Saya harap anda faham apa yang saya maksudkan.

- Anak adalah pengikat kasih, jika tinggal satu rumah keletah anak akan membuatkan hati terhibur lantas kasih sayang suami isteri dapat diterapkan. [sinarharian]


Soal Jawab: Tuntut Nafkah Suami `Ghaib'

1


Bulan depan genap setahun perkahwinan saya dan suami. Untuk pengetahuan, sudah hampir lima bulan kami tinggal berasingan.

Selepas berkahwin, saya dan suami tinggal di rumah orang tua saya. Suami mula berubah selepas empat bulan berkahwin apabila dia sering balik lewat dan kadang kala tidak balik ke rumah.

Sepanjang perkahwinan, suami tidak pernah memberi nafkah kepada saya kecuali jika saya membuka mulut dan meminta wang, malah semasa meninggalkan saya, dia tidak berusaha mencari dan bertanyakan khabar saya.

Selama setahun ini, saya bersabar melayan sikap dia kerana tidak mahu menjadi isteri yang derhaka dan berusaha memulihkan keadaan rumah tangga kami.

Tetapi nampaknya hanya saya saja cuba pertahankan sedangkan suami lepas tangan dan sibuk dengan aktiviti motosikal.

Kini, tahap kesabaran saya semakin goyah dan ingin memfailkan perceraian.

Saya tidak mampu untuk bersabar lagi dan bertahan dengan sikap lepas tangannya.

Kami sudah berbincang dan menyelesaikan masalah ini secara baik agar proses perceraian berjalan lancar dan tidak membuang masa.

Justeru, saya ingin tahu bagaimana untuk membuat tuntutan nafkah selama perkahwinan kami.

Aiza, Melaka

Jawapan

Nafkah isteri menjadi tanggungjawab dan kewajipan suami sebaik saja sah akad nikah antara mereka.

Rasulullah SAW mengingatkan golongan suami mengambil berat tanggungjawab itu terhadap isteri menerusi sabdanya yang bermaksud: "Takutilah kamu akan Allah dalam urusan kaum wanita, sesungguhnya kamu mengambil mereka (sebagai isteri kamu) dengan amanah daripada Allah dan Dia menghalalkan kamu menggauli isteri kamu dengan perintahnya maka hendaklah kamu menafkahkan mereka dan memberi pakaian kepada mereka dengan cara yang maaruf".

Daripada hadis itu, dapat difahami bahawa menafkahkan isteri adalah sesuatu yang difardukan ke atas setiap suami tanpa mengira keturunan dan kedudukan isterinya, sama ada lebih tinggi atau kaya dari suaminya.

Namun, kadar nafkah itu hendaklah mengikut kemampuan seseorang suami.

Suami yang bertanggungjawab ialah suami yang sentiasa mengambil berat keperluan isterinya dari semua aspek seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian, kemudahan pengangkutan dan perubatan.

Sudah menjadi keutamaan bagi suami untuk membelanjakan harta bendanya untuk menyempurnakan tanggungjawab terbabit dengan rela hati tanpa diminta berbuat demikian.

Hak seseorang isteri untuk mendapatkan nafkah suami tidak akan gugur selagi mana wujud ikatan perkahwinan itu dan mahkamah tidak mensabitkan sebagai isteri yang nusyuz. Jika berlaku tunggakan, puan boleh menyenaraikan perbelanjaan pada bulan yang tertunggak dengan bukti pembelian sekiranya ada.

Selanjutnya, puan boleh mengemukakan tuntutan itu ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah pembayaran melalui Mahkamah Syariah. Oleh Datuk Zaidi Zain



www.bicararumahtangga.blogspot.com

RUNDINGCARA: Jalan Mengatasi Masalah Keluarga

2
RUNDINGCARA: Jalan Mengatasi Masalah Keluarga
Oleh:Dr. Siti Zulaikha Hj. Mohd. Noor, UKM, 





RUNDINGCARA PERKAHWINAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Islam telah menganjurkan prinsip-prinsip tertentu untuk membentuk, mengekal dan memperbaiki sesebuah rumah tangga. Tetapi dari segi tekniknya atau pendekatannya hendaklah disesuaikan dengan keadaan semasa. Rundingan di dalam bidang kekeluargaan amat diperlukan pada tiga peringkat berdasarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Pertama: Pada peringkat awal iaitu ketika memilih pasangan.

Kedua: Apabila berlaku konflik rumah tangga.

Ketiga: Bagi pasangan yang telah lama berkahwin, tiba-tiba timbul perasaan dingin dari satu pihak terhadap pasangannya.

i. Rundingcara Pra-Perkahwinan

Apa yang dimaksudkan dengan rundingcara pra-perkahwinan ialah rundingcara yang diberi sebelum seseorang dara atau teruna mempastikan calon pasangannya. Islam telah menentukan ciri-ciri yang mesti diikuti dan mesti dijauhi di dalam memilih pasangan hidup. Misalnya di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya ciri agama diberi keutamaan meskipun pada hakikatnya manusia mengambil kira dari segi harta, rupa paras dan darjat keturunan. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW melarang seseorang lelaki mengahwini seorang wanita yang cantik jelita tetapi ia menjadi punca kejahatan.

Salah satu daripada faktor yang boleh menguatkan ikatan perkahwinan ialah rasa kasih dan suka kepada calon suami atau isteri, oleh itu Islam menganjurkan supaya melihat calon pasangan masing-masing dengan penuh adab yang digariskan oleh syarak. Seorang calon suami dibenarkan melihat setakat muka dan kedua tapak tangan calon pasangannya, tidak lebih dari itu.

Di samping itu selepas akad terdapat khutbah nikah yang menjelaskan lagi tanggungjawab suami dan isteri. Oleh itu amatlah perlu bagi kedua mempelai mendengar khutbah tersebut. Khutbah nikah mestilah disusun dengan lebih kemas dan komprehensif. Meskipun dewasa ini kursus bagi pasangan yang akan mendirikan rumah tangga telah dikendalikan, malah menjadi semakin popular tetapi ternyata kursus yang diberikan hanya berkisar di sekitar tugas suami isteri menurut perspektif hukum. Tetapi hal apa yang boleh melengkapkan lagi kursus tersebut, termasuk juga hal yang berkaitan dengan pengurusan perbelanjaan rumah tangga, pengurusan rumah tangga dan juga kesediaan untuk menjadi ibu bapa (parenting).

Ternyata rundingcara pada peringkat awal ini lebih berbentuk tunjuk ajar, penerangan dan perbincangan.

ii. Rundingcara apabila berlaku konflik rumah tangga

Dalam istilah fiqh terdapat perkataan “Nusyuz”. Nusyuz bermakna keadaan di mana suami atau isteri enggan menunaikan kewajipannya sebagaimana yang dituntut oleh syara’. Terdapat arahan yang jelas berhubung dengan sikap seorang isteri yang enggan taat kepada suaminya.

Langkah awal yang mesti dilakukan terhadap isteri ialah dengan menasihatinya.

Kedua, jika nusyuznya masih berterusan meskipun telah dinasihati maka suami boleh meninggalkan tempat tidur dengan isteri.

Ketiga, pihak suami boleh memukul isterinya, pukulan sekadar mengajar dan bukan pada tempat yang sensitif seperti di muka.

Sebaliknya jika pihak suami yang nusyuz maka isteri hendaklah mengadu kepada Qadi.

Apabila nusyuz berlaku sehingga ke peringkat yang paling sengit maka ianya dikenali sebagai “Shiqaq”. Apabila berlaku shiqaq maka terdapat satu

institusi pendamai yang dianjurkan oleh Islam yang dikenali sebagai “Hakim”. Islam menganjurkan supaya dilantik seorang hakim mewakili pihak suami dan seorang hakim mewakili pihak isteri.

Nusyuz di pihak isteri timbul apabila keadaan selisih faham kian meruncing atau apabila pihak isteri terlalu membenci suaminya sehingga ia menurut khuluk. Nusyuz dari pihak isteri boleh berlaku kerana sikap isteri sendiri atau kerana sikap suami yang kejam.

Nusyuz dari suami pula berlaku kerana isteri sakit berpanjangan atau kerana terlalu tua. Bagi isteri yang menyedari hakikat ini maka ia akan bertolak ansur seperti memberikan gilirannya kepada isteri yang lain. Keadaan seumpama ini telah berlaku kepada Saudah isteri Rasulullah SAW yang telah tua dan mengizinkan gilirannya untuk A’ishah.

Pada peringkat ini rundingcara yang diperlukan adalah secara penyertaan langsung (direct participation) terhadap masalah yang dihadapi oleh kedua-dua pihak. Oleh itu konsep “Hakam” menetapi keperluan tersebut kerana wakil dari kedua-dua pihak hendaklah terdiri dari kalangan mereka yang memahami keadaan pihak yang diwakili. Maka dalam masyarakat yang sudah kompleks ternyata lebih banyak aspek diceburi maka adalah wajar pihak yang terlibat sebagai anggota Hakam terdiri dari berbagai-bagai kalangan.

iii. Rundingcara bagi Pasangan Yang Telah Lama Berkahwin

Terdapat dua keadaan bagi pasangan yang telah lama berkahwin:

Pertama, terdapat pasangan yang masih saling sayang menyayangi, malahan hubungan menjadi lebih utama apabila semakin lama usia perkahwinan, kerana pada peringkat tersebut perkahwinan lebih memupuk perasaan saling perlu memerlukan dan persahabatan di antara keduanya.

Kedua, terdapat pasangan yang semakin lama usia perkahwinan mereka maka semakin pudar kemesraan dan kasih sayang antara keduanya. (lama bermaksud tujuh tahun ke atas).

Oleh sebab matlamat perkahwinan ialah untuk mengekalkan “Mawaddah” dan “Sakinah” di dalam sebuah rumah tangga, dan penceraian merupakan satu perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT maka motif utama rundingan pada peringkat ini ialah:

(a) Memperhebatkan kembali ikatan suami isteri;

(b) Memberi panduan untuk mengatur program kehidupan demi untuk mengelakkan dari rasa bosan dan kesunyian;

(c) Oleh kerana perkahwinan dalam kategori ini melibatkan mereka yang telah berusia pastilah dalam jangkamasa yang begitu lama semakin banyak pula masalah yang timbul sama ada dari aspek sosial, ekonomi, mental, fizikal dan sebagainya. Oleh itu jika masalah yang timbul terlalu serius maka masalah tersebut mesti diatasi atau jika perlu dirujukkan kepada mereka yang mempunyai kepakaran.

Sebagai kesimpulan bentuk rundingcara pada peringkat ini lebih berbentuk menyedarkan atau peringatan dan juga perawatan atau pemulihan (curative and rehalilitative).

Kisah Rumahtangga: Isteri Risau Suami Dikelilingi GRO

1

Isteri risau suami dikelilingi GRO

Bukan namanya rumah tangga jika tidak diuji. Ia pula ada pelbagai, ada yang mudah diatasi, yang sukar dan paling menyakitkan hati yang terpaksa memendam rasa dan makan hati.

Dalam sesetengah kes, ada pasangan yang berdepan dengan kerenah suami disebabkan pekerjaannya yang memerlukan dia berbuat begitu. Contohnya, ahli perniagaan yang terpaksa bersaing dengan peniaga lain untuk mendapatkan tender atau bisnes.

Berhibur di kelab malam, coffee house dan trip ke luar negara menjadi agenda penting dalam kehidupan mereka, jika tidak melepaslah bisnes.

Dalam rumah tangga persefahaman, tolak ansur, kejujuran dan saling hormat-menghormati menjadi faktor utama kebahagiaan.

Pun begitu ia tidak semudah yang dikatakan, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hanya mereka yang merasanya sahaja yang tahu.

Begitu kata Lina (bukan nama sebenar) dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini. Dalam kehidupan ini katanya, kemewahan tidak dapat menjamin bahagia dalam rumah tangga jika hati tidak tenang.

Ingin tahu kenapa? Kita ikuti kisah yang diceritakan oleh Lina kepada saya untuk iktibar kita bersama.

"Saya berusia lewat 50-an, mempunyai empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan. Tiga sudah bekerja seorang masih menuntut di universiti.

"Syukur Alhamdulillah, kehidupan saya agak mewah kerana mempunyai seorang suami yang berjawatan tinggi, ada kedudukan. Semua yang saya dan anak-anak inginkan boleh diperoleh dengan mudah.

"Kami telah berkahwin selama 27 tahun. Sepanjang tempoh itu hidup saya tidak tenang, selalu berfikir tentang perkara negatif yang mungkin dibuat oleh suami di belakang saya walaupun saya tahu dia tidak berbuat demikian.

"Namun naluri seorang isteri amat kuat, selalu saya syak wasangka dan buruk sangka terhadapnya terutama apabila dia berada di luar negara.

"Memang saya bahagia sebab hidup mewah, sarat dengan kasih sayang dan anak-anak sentiasa menyokong saya, tetapi saya selalu susah hati. Bimbang jika suami akan berubah hati dan mencari perempuan lain.

"Saya kenal suami saya, dia bukan kaki perempuan tetapi kedudukannya menjadikan dia diintai ramai wanita termasuk gadis yang masih remaja yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

"Begitulah kehidupan ahli perniagaan ternama, sentiasa menjadi tumpuan dan buruan gadis yang ingin hidup mewah.

"Bertemu klien, melepak di coffee house, kelab malam dan kelab dangdut menjadi amalan suami. Sudah tentu GRO ini akan menjadi peneman.

"Pernah beberapa kali saya menasihatinya supaya mengubah cara hidup dan bekerja secara lebih berhemah tetapi alasan yang diberikan tetap sama, semuanya bergantung pada klien. Jika tidak, bisnes tak masuk.

"Saya tidak ada masalah untuk memahami kerjanya itu tetapi kadang-kadang apabila tertekan saya menjadi tidak seronok dan mula berfikir yang bukan-bukan.

"Masalahnya ialah setiap kali suami bercerita tentang pertemuannya dengan klien di kelab-kelab semuanya mesti ada GRO. Muda-muda dan cantik-cantik belaka. Malah saya juga selalu membaca mesej dan WhatsApp yang dikirim oleh mereka kepada suami dengan kata-kata yang menggugat kesabaran saya sebagai isteri.

"Ayat-ayat cinta seperti I miss you, I love you sudah menjadi lumrah dalam setiap mesej atau WhatsApp yang dihantar. Kadang-kadang saya terasa hati tetapi kata suami, dia tidak hairan dengan kata-kata itu, sebab itu ayat cari makan golongan GRO tersebut.

"Saya faham dengan gaya hidup suami tetapi ada kalanya, hati isteri juga tersentuh dengan kata-kata seumpama tersebut, itu belum termasuk gambar-gambar seksi yang dikirim oleh gadis-gadis itu kepada suami melalui telefon.

"Semuanya dengan niat menggoda. Saya tidak tahu kenapa gadis sekarang terlebih berani untuk meraih kemewahan...,saya juga pelik mengapa klien perlu menggunakan GRO untuk mendapatkan bisnes.

"Bila difikirkan saya menjadi sedih dan tidak boleh tidur malam. Dalam usia yang semakin tua ini, hati mudah tersentuh. Walaupun saya tahu suami tidak seperti apa yang saya sangka, naluri saya tetap terasa.

"Pernah beberapa kali saya nasihatkan suami supaya tidak lagi melakukan urusan bisnes seperti itu tetapi nampaknya masih tidak ada perubahan.

"Suami selalu beritahu saya supaya bersabar kerana dia tidak pernah berubah hati terhadap saya. Tetapi sebagai isteri saya pasti semua pembaca faham dengan apa yang saya alami.

"Anak-anak juga memberi sokongan kepada saya dan yakin ayah mereka tidak berubah hati. Kata mereka, GRO itu hanya cari makan mama, jangan susah hati.

"Saya terfikir juga, kalau suami hendak buat jahat sudah tentu dia akan buat di peringkat awal lagi, tetapi sehingga kini setelah 27 tahun hidup bersama, saya tidak nampak sikapnya berubah terhadap saya lebih-lebih lagi apabila bercakap tentang GRO ini.

"Saya berdoa agar suami tidak akan berubah hati dan menjaga keharmonian rumah tangga yang kami nikmati sekarang sehingga ke akhir hayat kami.

"Saya selalu berdoa agar dalam masa terdekat, suami akan terbuka hatinya untuk berubah dan menukar cara hidup kepada yang lebih baik dan bersih di sisi Allah SWT.

"Mudah-mudahan Allah akan makbulkan doa saya ini, '' begitu Lina menamatkan ceritanya dengan air mata bergenang.

Saya faham dengan perasaan Lina yang inginkan perubahan dalam hidupnya ke jalan yang lebih diredai oleh Allah SWT.

Bersabarlah Lina. Insya-Allah akan ada perubahannya kelak dan jangan lupa bersyukur dengan kehidupan mewah yang Allah kurniakan kepada Lina dan keluarga selama ini.

Banyakkan bersabar dan berdoa selalu agar dalam masa terdekat Allah akan buka pintu hati suami untuk berubah dan mengubah cara hidupnya. Ingat, Allah bagi kita kemewahan dan Dia akan uji dengan cara lain. Inilah yang sedang Lina hadapi.

Menutup kata, pesanan saya, jangan resah apabila di dalam kesusahan kerana ia akan membuatkan anda merasa hampa, sebaliknya banyakkan berdoa dan bersyukur kerana di situ ada jalan menuju ketenangan. :-Utusan ~



www.panduansuamisteri.blogspot.com

Kisah Rumahtangga: Suami Curang dengan Rakan Sepejabat

1



CURANG dengan rakan pejabat, bersekedudukan bawah tangga. Berkali-kali saya mendesak ingin mengikuti suami menghadiri satu program melibatkan famili di tempat kerjanya.

Entah kenapa saya dapat rasakan pelawaan suami minggu lepas sekadar satu pelawaan kosong tanpa maksud.

Meski bibirnya memaklumkan tentang program itu berkaitan famili, lagaknya seakan berharap saya tidak berkeputusan untuk mengikut. Tapi dia silap. Sekali dia mempamerkan sikap teragak-agak, sepuluh kali curiga ini berganda.

Hari berkenaan, saya bersiap cantik-cantik. Pembantu rumah, Nisa dan bayi kecil kami berusia enam bulan juga sudah siap. Kami menunggu di garaj kereta. Suami bangun pagi dan bersiap dengan langkah longlai.

Dua hari lepas, dia balik jam 1 pagi minta saya sediakan nasi. Katanya selesai praktis untuk persembahan dia tak sempat makan malam dan terus balik rumah dalam kelaparan. Sebagai suri rumah dan seorang isteri, saya sediakan makanan secepat mungkin seperti yang dia minta. Saya padamkan letih demi dia.

Kami tiba di pejabatnya jam 6.40 pagi. Jemput rakan sekerja suami bernama Faiz dan kami terus bergerak ke Putrajaya lokasi di mana hari keluarga pejabat suami diadakan. Saya, Nisa dan bayi diam di kerusi belakang. Faiz bersalam dengan saya sambil tersenyum kelat.

“Eh, semua ikut? Maaf kak, Din cakap akak tak ikut.” Hati bertambah curiga tapi salamnya saya sambut juga.

“Din, Suzi dah siap. Kita jemput dia di hotel sebelah restoran tempat kita makan malam semalam.” Selamba ayat itu melurut dari bibir Faiz.

Hati bertambah panas bila mendengar nama Suzi disebut-sebut. Nama perempuan. Tinggal di hotel sebelah restoran tempat makan semalam?

Habis yang dia katakan tidak makan itu apa pula? Saya mula menendang tempat duduk kerusi pemandu dari arah belakang, memberi amaran bahawa hati saya sudah mula hendak panas.

Suami masuk hotel

Sepanjang perjalanan suami kelihatan resah dan sebaik kami tiba di hotel menempatkan wanita itu, tanpa mematikan enjin kereta, suami terus keluar dan meluru ke bilik hotel di tingkat satu yang berbentuk seperti rumah teres setingkat itu.

Alangkah hancur dan berkecai hati saya melihat perilaku suami yang dengan selamba memasuki bilik perempuan yang disebut sebagai Suzi itu.

Nisa memandang saya dengen ekspresi terkejut. Jika dia sebagai orang asing juga berasa curiga, apatah saya sebagai isteri. Saya tertanya-tanya kenapa suami meluru masuk ke bilik hotel kerana bukankah yang dimaksudkan penghuni hotel itu adalah Suzi? Perempuan?

Lima minit menunggu dengan penuh was-was, saya melihat suami keluar pintu diikuti Suzi sambil di tangannya menggalas beg pakaian. Saya jadi hilang sabar.

Entah angin apa yang menyerang saya waktu itu, saya terus keluar dari kereta bertanyakan siapa wanita itu. Faiz cuba meleraikan dengan alasan Suzi adalah teman wanitanya.

“Kenapa Din yang masuk bilik dia?!” Saya menyoal lagi. Intonasi saya tidak terkawal. Saya kerasukan. Suzi menyorok di belakang suami. Dalam hati saya terdetik, ALLAH nak tunjuk. Suami sendiri menunjukkan kebodohan dalam kegelisahannya.

Pagi itu saya mengamuk di hadapan hotel. Saya tarik rambut Suzi, saya tolak, tumbuk dan cakar dada suami. Saya sudah tidak kisah. Peristiwa demi peristiwa terkeluar dari mulut saya.

“Nama yang direkod atas nama Faiz2 itu siapa?! Setiap malam selama lebih dua bulan ini yang dikatakan pergi praktis program pejabat itu sebenarnya pergi ke mana?!

Praktis dengan siapa?! Tidak balik ke rumah selama beberapa malam itu operasi apa?!” Saya tanyakan semuanya sehingga akhirnya dia tiada jawapan lagi.

Saya menangis, melutut, merintih... Suami menyerah, Suzi menyerah... tapi apa yang saya mahukan lagi? Saya ditipuhidup-hidup.

Mengaku selingkuh

Saya isterinya. Saya percaya pada firasat yang ada dalam hati saya. Dan saya yakin, tidak saya seorang malah semua para isteri di luar sana juga berasakan perkara sama.

Andai suami berselingkuh, isteri pasti mampu menduga, berasa syak wasangka tapi isteri tidak berani menyuarakannya tanpa bukti di hadapan mata.

Namun percayalah sahabat wanita, ALLAH itu ada... ALLAH kan selalu ada... 

Suami yang selingkuh pasti terperangkap dalam permainannya sendiri suatu masa nanti dan seperti mana yang berlaku terhadap suami saya dan perempuan itu, tembelang mereka pecah jua.

Terlalu pedih hati ini untuk menerima kekhilafan mereka. Saya tanya suami semenjak bila? Suzi rupa-rupanya seorang pelatih di pejabatnya sejak enam bulan lalu. Baru berusia 22 tahun dan tidak biasa tinggal di Kuala Lumpur. Hubungan mereka terjalin sejak hari kedua Suzi bekerja.

“Abang minta maaf. Abang cuma niat nak tolong Suzi tapi ...” Suami memeluk. Saya menolak kasar. Nisa dan anak sudah saya arahkan menunggu di dalam kereta. Hari itu juga saya akan berlalu dari hidup suami yang tak kenal hati budi.

“Abang ada isteri, tapi selingkuh dengan tunang orang? Apa yang abang dan perempuan tu dah buat? Sampai tahap mana?” Saya jijik menyebut nama Suzi. Meski pun jawapan suami bakal menghiris hati ini, saya tidak tahu kenapa saya tanyakan juga.

“Sumpah kami tak buat apa-apa..

“Jangan bersumpah! Saya dah paksa Suzi terus-terang. Saya bukan perempuan bodoh nak terima abang yang buat maksiat dalam tandas pejabat. Bawah tangga pejabat?! Apa tu?!” Air mata mengalir laju.

Kalau suami terlihat hina, saya berasakan lebih lagi. Tidak mahu terus menjerut hati, saya ambil keputusan keluar dari rumah dan akan memfailkan penceraian.

Sehingga hari ini, saya belum mampu menceritakan sebab sebenar rumah tangga saya hancur di tengah jalan kepada keluarga saya mahu pun mertua. Hati kekal terluka. [sinarharian]


Isteri Ingin Bercerai Boleh Tuntut Taklik, Fasakh Ikut Kesesuaian Kes

0




Isteri Boleh Tuntut Taklik Ikut Kesesuaian Kes

Saya ingin bercerai dengan suami kerana tidak bersefahaman lagi. Suami tidak pernah menghargai saya sebagai isterinya. Saya sudah beberapa kali meminta suami menceraikan saya tetapi beliau hanya mendiamkan diri .

Suami juga tidak memberi nafkah hampir setahun. Apabila saya meminta wang, suami memberitahu saya mempunyai gaji sendiri dan tidak perlu memberi nafkah. Oleh kerana saya yang mahu bercerai, suami berkata tidak perlu memberikan nafkah. Saya tidak kisah mengenai nafkah, apa yang saya mahu ialah bercerai tetapi beliau tidak bersetuju. Hasil perkahwinan, kami dikurniakan tiga cahaya mata berusia tujuh, empat dan satu tahun. Bagaimanakah saya boleh bercerai dengan suami.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan perceraian melalui talak. Mengikut Seksyen 47, jika pihak satu lagi tidak bersetuju untuk bercerai maka mahkamah akan mengarahkan untuk dilantik jawatankuasa pendamai terdiri daripada wakil setiap pasangan dan dipengerusikan oleh pegawai agama.

Tugas jawatankuasa adalah untuk mendamaikan pasangan dan jika masih gagal maka penimbangtara atau hakam pula akan dilantik. Hakam mempunyai kuasa untuk menceraikan pasangan. Kaedah hakam terdapat dalam Arahan Amalan berhubung hakam yang diikuti di mahkamah syariah.

Puan juga boleh menuntut taklik terhadap suami jika beliau sudah melanggar taklik dilafazkan oleh suami selepas akad nikah. Puan perlu meneliti semula sijil nikah puan dan melihat taklik yang dilafazkan itu. Jika ada perlanggaran taklik, maka puan boleh memohon pensabitan lafaz taklik itu.

Selain taklik, puan boleh memohon cerai fasakh daripada mahkamah syariah berdasarkan alasan yang dinyatakan dalam Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ada 17 alasan boleh digunakan bagi memfasakhkan perkahwinan. Terpulang kepada puan untuk meneliti alasan berkenaan sama ada sesuai dengan apa yang puan alami atau tidak.

Jika tiada kecacatan atau keaiban pada pihak suami, tetapi isteri masih mahukan perceraian atas alasan tertentu, isteri boleh memohon tebus talak di mahkamah syariah. Dalam keadaan ini isteri perlu membayar sejumlah wang yang dipersetujui kedua-dua belah pihak atau ditentukan mahkamah bagi menebus talak daripada suami.

Namun ada beberapa implikasi terhadap isteri jika memohon tebus talak seperti akan dinafikan hak mutaah atau mendapat sagu hati perkahwinan akibat diceraikan tanpa sebab munasabah.

Berdasarkan penjelasan, ada beberapa cara bagi membubarkan perkahwinan. Puan boleh memilih mana-mana cara di atas mengikut kesesuaian kes puan.

Walau bagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati puan supaya memikirkan semasak-masaknya mengenai perceraian ini kerana perceraian adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Adalah amat baik jika puan dapat melakukan solat istikharah bagi memilih jalan terbaik buat puan sebelum membuat sebarang keputusan.

Puan juga dinasihatkan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak ketiga yang boleh dipercayai bagi membaiki perkahwinan puan dan suami. Mungkin puan dan suami boleh berjumpa dengan perunding atau kaunselor bagi membincangkan masalah ini.

Dalam banyak keadaan, keretakan rumah tangga adalah akibat tiada atau kurangnya komunikasi yang berkesan antara pasangan. Pasangan tidak faham keperluan masing-masing dan tidak berbincang secara terbuka serta berhemah mungkin akibat tekanan kerja, komitmen di tempat lain dan juga sebab tidak dapat dielakkan.

Selalunya jika berlaku perceraian, kedua-dua pihak sudah melakukan kesilapan, Cuma yang membezakannya ialah ratio kesilapan itu saja. Kesilapan sering dilakukan ialah kurangnya komunikasi dan membiarkan sesuatu perkara begitu lama, tidak mencegahnya di peringkat awal.

Sekali lagi saya menyarankan puan supaya berfikir semula mengenai keputusan itu dan cubalah berbincang dengan suami untuk memulakan episod baru perkahwinan puan. Fikirkanlah juga nasib anak selepas puan dan suami bercerai kelak.

Sudah tentu anak akan kehilangan salah seorang daripada ibu atau bapa. Mereka juga terpaksa mengubah cara hidup setelah perpisahan itu dan ini sedikit sebanyak akan mendatangkan keresahan kepada mereka. Anak sudah tentu akan merindui ibu atau bapa mereka setelah berpisah nanti.

Sebaiknya puan dan suami bersembahyang istikharah bagi memohon petunjuk daripada Allah apakah jalan terbaik yang harus dipilih bagi menempuh hari mendatang.

INFO

Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor


Jika pihak satu lagi tidak bersetuju untuk bercerai, mahkamah akan mengarahkan untuk dilantik jawatankuasa pendamai terdiri daripada wakil setiap pasangan dan dipengerusikan pegawai agama.
Tugas jawatankuasa mendamaikan pasangan dan jika masih gagal, penimbangtara atau hakam akan dilantik. Hakam berkuasa menceraikan pasangan. Kaedah hakam terdapat dalam Arahan Amalan berhubung hakam diikuti di Mahkamah Syariah.

Jawapan ini disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar