Showing posts with label Petua Layan Suami. Show all posts

Petua Melayan Suami

1

Petua Melayan Suami

Kehadiran suami di rumah merupakan satu rahmat kepada setiap isteri. Hanya isteri-isteri yang menderhakai suami sahaja menganggap kepulangannya suatu yang dibenci kerana dibebani dengan berbagai kerja dan tanggungjawab. Amat malang sekali jika ramai lagi isteri-isteri yang masih bersikap sedemikian. Hilanglah matlamat perkahwinan di mana isteri sebagai penenang dan penyeri rumahtangga. Di bawah ini dinyatakan cara-cara berhadapan dengan suami.

1. Semasa suami bercakap hendaklah isteri diam mendengarnya dan jangan suka menyampuk atau memotong cakapnya.

2. Bila suami marah hendaklah isteri mendiamkan diri,jangan suka menjawab. Sikap suka menjawab, bertekak dan menegakkan kebenaran sendiri akan menambahkan lagi kemarahan suami. Jangan terkejut jika suami angkat kaki meninggalkan rumah berhari-hari atau tidak mahu bertegur sapa dengan anda sebagai denda di atas kedegilan anda sebagai isteri. Sebaliknya, kalau suami kembali ke rumah jangan disambung atau diulang-ulangi cerita lama. Sambutlah suami dengan senyuman kasih sayang dan bersegeralah meminta maaf. Jangan kita tunggu suami meminta maaf dengan isteri, jatuhlah martabat keegoannya selaku seorang lelaki.

3. Kadang-kadang si suami sengaja suka mengusik isterinya. Bila dia menyakiti hati isteri hendaklah banyak bersabar, jangan cepat merajuk. Merajuk adalah sifat orang yang tidak matang dan seperti perangai keanak-anakan. Cuba kita perhatikan perangai kanak-kanak, mereka akan cepat menjerit bila ada sesuatu yang tidak kena tambahan pula kalau yang menegurnya itu ibunya sendiri. Sengaja dihentak-hentakkan kaki meraung sekuat hati meminta simpati dari ibunya.

4. Bila kuku, misai dan janggutnya panjang hendaklah segera dipotongkan (jika panjang janggutnya lebih dari segenggam). Pilihlah hari-hari yang terbaik iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat.

5. Jika dia berhajat sesuatu hendaklah isteri cepat bertindak. Bangun segera bila disuruh. Jangan melengah-lengahkan kemahuannya supaya tidak mencetuskan kemarahan atau rasa tersinggung di hatinya. Jangan isteri buat acuh tak acuh, hatinya akan kecewa dan menandakan isteri sudah tidak taat padanya.

6. Hendaklah memasak mengikut kesukaan suami bukannya ikut selera isteri. Kalau suami suka makan gulai kari atau masak lemak cili api, janganlah kita masak lauk asam pedas atau ikan goreng. Suami akan gembira bila seleranya ditepati. Janganlah pula ikan yang menjadi mangsa, diketuk lengkang-lengkung hingga hancur kerana meradangkan sikap suami yang mahu lauk tersebut dimasak mengikut seleranya sedangkan isteri tidak menggemarinya.

7. Apabila pakaian suami koyak atau tercabut butangnya hendaklah segera dijahit. Jahitlah dengan secantik yang boleh supaya pakaian itu kelihatan kemas dan cantik. Jangan dibuat sambil lewa kerana jahitan tersebut akan melambangkan peribadi isteri samada ikhlas atau terpaksa. Semua suami akan berasa bangga jika pakaiannya dijahit sendiri oleh jari-jemari halus isterinya,
sekurang-kurangnya dapat menampung ekonomi rumahtangga.

8. Sentiasa sediakan barang-barang keperluan di dalam poket baju dan seluar suami iaitu sikat, celak, cermin kecil, minyak wangi dan kayu sugi. Tidak menjadi kesalahan seandainya si suami menolak segala persediaan tersebut tetapi sekurang-kurangnya sediakanlah minyak wangi dan kayu sugi.

9. Bila bertembung kehendak suami dan anak-anak, dahulukanlah kehendak suami, begitu juga dengan kehendak ibu ayah. Sekiranya suami ingin dilayan hendaklah ditaati meskipun isteri berada di dalam keadaan letih. Melayani suami merupakan satu pahala besar keatas setiap isteri kecualilah jika suami kita meredhainya.

10. Apabila menggunakan harta suami ataupun duit yang hendak kita hadiahkan kepada ibu bapa maka mintalah izin darinya terlebih dahulu. Jangan beri dahulu kemudian baharu diberitahu kepadanya. Siapa tahu mungkin wang itu amat diperlukan sedangkan isteri sewenang-wenangnya telah menghadiahkan kepada orang lain, suami dapat pahala sedangkan isteri tidak dapat apa-apa.Sebenarnya meminta izin itu ialah sebelum melakukan sesuatu tindakan bukannya setelah perkara itu berlaku diberitahu. Ini silap sebenarnya tapi kes-kes seperti inilah yang sering berlaku di kalangan para isteri.

11. Sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas ketika suami berada di rumah. Isteri hendaklah berada di dalam keadaan berwangi-wangian supaya hatinya senang untuk bersenda gurau dengan isterinya.Ketahuilah bahawa bersenda gurau antara suami isteri juga merupakan salah satu ibadah yang diredhai oleh Allah swt.

12. Air minum suami hendaklah sentiasa disiapkan jangan sampai dia minta biarpun sekadar air masak sejuk. Sebaik-baiknya sediakanlah minuman panas seperti kopi, teh atau susu. Air panas elok disimpan di dalam termos supaya memudah dan menjimatkan masa kita. Kalau bolehsediakan kuih-kuih ringan seperti karipap, cucur, bubur, apam ataupun biskut kering. Hal ini juga dapat mengelak anak-anak dari membeli makanan ringan di kedai yang tidak mengandungi zat di samping tidak terjamin kebersihannya.

Akhir kata hendaklah isteri sentiasa menghormati dan memuliakan keluarga suami. Bersikap ramah-tamahlah dengan keluarganya dan bersabarlah di atas segala tindakan mereka jika ada yang bertentangan dengan syariat. Di sinilah peranan isteri untuk berdakwah kepada mereka tetapi biarlah berhikmah dan kena caranya agar setiap tindak-tanduk kita dikasihi dan dihargai oleh mereka seterusnya menjadi menantu atau ipar yang dicontohi akhlak, peribadi dan ibadahnya.


www.panduankeluargabahagia.blogspot.com

16 Petua Agar Suami Tertarik

0

Beberapa petua yang disediakan ini kemungkinan dapat membantu anda dalam usaha menambat hati suami:

1. Selalu berdoa agar suami sentiasa menyayangi kita. Apabila suami pulang dari kerja, tegur dan sentuh suami sebelum membuat kerja-kerja lain.

2. Tunjukkan keprihatinan dengan bertanya secara khusus mengenai aktiviti suami sepanjang hari, (jika suami dalam mood yang sesuai). Belajar dan berlatihlah untuk mendengar dengan baik dan bertanya dengan tepat. Jangan tergesa-gesa untuk menyelesai masalah suami. Apa yang lebih penting ialah memberi perhatian dan simpati.

3. Luangkan masa yang betul-betul "berkualiti" sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari kepada suami.

4. Tanya keluarga suami terutama ibu mentua, mengenai hadiah yang disukai oleh suami dan belikan hadiah tersebut sebagai cenderahati atau untuk memujuk.

5. Sekali sekala cuba hidangkan resipi ibu mentua yang menjadi kegemaran suami. Beri pujian terhadap penampilan suami seperti rambut wajah, pakaian dan sebagainya.

6. Cepat-cepat pujuk apabila suami marah atau berkecil hati.

7. Jangan biarkan suami menunggu terlalu lama terutama apabila bersiap. Ucapkan terima kasih kepada suami apabila dia memberitahu akan pulang lewat. Pesan kepada suami agar menelefon anda sekiranya suami mempunyai tugasan di luar.

8. Apabila suami meminta bantuan, buatlah serta merta dengan ikhlas dan gembira. Jangan mengungkit atau banyak memberi komen.

9.Ucapkan kata-kata sayang yang romantik pada suami sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Jika kita marah, tunggu hingga sejuk. Bila sudah sejuk beritahu suami apa yang mengganggu fikiran secara sopan. Jangan sesekali salahkan suami.

10 Beri perhatian sepenuhnya kepada suami apabila dia bercakap. Kalau boleh, hentikan apa jua pekerjaan yang sedang dilakukan.

11 Peluk suami dengan penuh kasih sayang sebanyak 7 kali sehari.

12 Telefon suami di tempat kerja hanya apabila ada perkara penting atau. kecemasan sahaja. Telefonlah dengan lebih kerap apabila suami menggalakkannya. Jangan ganggu suami ketika dia sedang asyik melakukan sesuatu yang memerlukan penelitian.

13 Apabila meminta bantuan suami, terangkan kepadanya dengan jelas. mengenai kerja-kerja rumah yang perlu bantuan. Beri pilihan kerja yang disukainya. Jangan memaksa, sebaliknya gunakan perkataan yang sesuai dan lemah lembut.

14 Sentiasalah kemas, anggun dan wangi sebelum tidur bersama..

15 Beri layanan istimewa kepada suami di hari-hari istimewa seperti. keluar 'dating' atau 'berbulan madu' sekali sekala.

16 Hantar kad ucap selamat pada hari-hari istimewa. Belai dan urut. mengurut suami dari semasa ke semasa.

www.panduankeluargabahagia.blogspot.com

Tips Atasi Suami Panas Baran

1

Untuk melembutkan hati suami yg garang dan menurunkan kadar suhu 'panas baranannya' amalkan seperti:

1) Banyakan berdoa selepas solat, hadiahkan Al-Fatihah khusus untuk suami supaya dilembutkan hatinya dan diberi taufik serta hidayah.

2) Baca surah Taha ayat 1-8..dan kemudian baca doa Nabi Daud sebanyak 3x - "Ya ALLAH lembut kan hati suamiku (sebut nama)... sebagaimana Engkau lembutkan besi ditangan Nabi Daud"

3) Ketika memasak basahkan lidah dengan zikir Ya-Latif sebanyak 129x di ikuti Surah As-Syura ayat 19 bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hambaNya. Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”

4) Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Bila suami sedang naik angin dan marahnya meluap-luap, diamkan diri jangan dijawab. Dalam mendiamkan diri bacalah doa didalam hati dgn ayat:

1) Dari Surah Al-Baqarah ayat 250 yg bermaksud – “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah sabar kepada kami dan teguhkanlah iman kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.

2) Dan bacakan ayat 200, surah Ali Imran yg bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

3) Begitu juga, amalakan Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah.

Syaitan memang suka mengapi-apikan suami yang sedang marah.. Silap sedikit, isteri jadi sasaran suami yg naik berang. Bila suami naik berang, bacalah ayat ini:

1) Surah Al-Nahl ayat 99 yang bermaksud “ Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.

Noted:
Ajaklah suami menghadiri majlis ilmu dan keugamaan supaya diberi jalan keluar untuk muhasabah diri, dengarkan ceramah-ceramah motivasi dan ugama supaya timbul kesedaran untuk memperbaiki peribadi. 
Bila Allah ingin memberi kebaikan pada hambaNya, Dia akan nampakkan kekurangan-kekurangan pada hambaNya. Jika kita sedar akan kekurangan kita dan ingin berubah, Insyaallah ada jalan keluar. 
Sebagaimana yang pernah saya dengar dari guru-guru ugama, jika kita tidak menghadirkan diri untuk majlis ilmu selama 40 hari, hati akan menjadi keras dan susah nak terima hidayah.

Janganlah berputus asa, jadikan doa cara berkesan membentuk peribadi suami dan anak-anak. Doa itu senjata mukmin. Wallahu’alam.


Sumber:facebook.com