Showing posts with label Kahwin Muda. Show all posts

Pilih 'Pucuk Muda' Bukan Lagi Isu

1

Salina: Aku sekarang tengah bercinta dengan lelaki muda 10 tahun daripada aku.
Rakan : Jadi, apa masalahnya.
Salina: Kau tak terkejut pun, tak pelik ke?
Rakan : Apa peliknya, kau tu yang pelik (ketawa kecil)
Salina: Aku sayang sangat kat dia, kami dah janji nak hidup semati. Tapi aku takut, nanti orang kata aku gatal, tak tahu malu, dah tua ada hati nak pilih ‘pucuk muda’.
Rakan : Ish, kau ni. Kalau dah jodoh nak buat macam mana. Kahwin jelah. Pedulikan kata orang. Lagipun bukan kau sorang yang bercinta laki muda, ramai lagi. Bukannya kau buat benda haram pun. Nak bina masjid kan?


BENARLAH kata orang, cinta itu buta. Bukan setakat buta, tapi pekak dan bisu juga. Ramai wanita berdepan dilema; antara menurut kehendak hati atau bimbang dipandang jelik.

Lihat beberapa artis kita yang melalui saat bahagia itu – Abby Abadi dan Farhan, Awin Nurin dan Izzue Islam, Maizawati dan Mohd Yassin Ben, Fiza Elite dan Adam AF, Raja Azmi dan Eddie CRK, Ella dan Azhar (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka bahagia hingga ke hari ini, malah ada antaranya bakal bergelar ibu tidak lama lagi.

Rasullullah SAW sendiri berkahwin dengan wanita yang lebih berusia daripada dirinya iaitu Siti Khadijah.

Ada sebab mengapa wanita berusia memilih jejaka muda sebagai pasangan hidup dan tidak aneh bila si teruna menyahut salam cinta mereka.

Mungkin sekarang ini, ramai wanita yang berusia masih menampakkan kejelitaan dan susuk badan menarik seperti gadis 20an. Malah sesetengah mereka lebih nampak bergaya daripada anak gadis.

Selain itu keserasian dan tanggungjawab lebih didambakan pasangan. Wanita berusia tentu dilihat lebih mempunyai pengalaman dalam hidup dan berpandangan jauh dari segi kematangan fikiran.

Apapun berbaliklah kita kepada ketentuanNya kerana jodoh pertemuan itu adalah rahsiaNya. Kepada masyarakat, usah melihat ini suatu yang jelik, lebih penting perkahwinan itu dibina atas rasa cinta dan saling menyukai antara pasangan. Doakanlah kebahagiaan mereka. Usia itu hanya angka, yang penting hati bahagia.

Pengakuan 1

Dari kawan bertukar sayang


TIADA istilah cinta pada awal perkenalan. Namun siapa sangka, timbulnya keserasian selepas saya membeli kamera. Dia pula jenis yang suka mengambil gambar. Kami sering bertukar-tukar pendapat tentang gadjet dari cara nak ambil gambar, perihal gadjet itu sendiri dan sering lepak bersama.

Suatu hari, dia mengajak saya menyaksikan perlawanan futsal sebab dia turut serta, tetapi waktu itu, saya ada hal lain, jadi saya biarkan sahaja. Saat inilah dia menghantar pesanan ringkas (SMS) seolah-olah kecewa dengan sikap saya dan berbau cinta. Pada masa itu saya tidak ada apa-apa perasaan terhadap dia. Selepas kejadian itu, saya berjumpa dengan kawan baik dia dan bertanya.

Kawan baik mengakui yang dia menyimpan perasaan terhadap saya. Satu hari, saya mengajak dia keluar dan bertanya dari hati ke hati kesahihan itu. Dia mengaku dan sejujurnya mula menaruh hati kepada saya. Setelah mendengar dari mulut dia sendiri, saya terangkan kepada dia untuk lebih serius dalam hubungan ini, lagipun tidak ada masa untuk saya bercinta, kecewa dan macam-macam, maklum sajalah umur dah cecah 30an.

Nampaknya ALLAH permudahkan urusan kami. Keluarga menyambut baik hasrat ini, 17 Julai 2009 menjadi detik bersejarah saya bergelar isteri kepada Haddafi Hamidun.

Ketika itu, usia saya 34, dan Dafi, 25 tahun. Alhamdulillah rumah tangga yang kami bina dilimpahi rezeki dan diserikan dua cahaya mata, Fatima Az Zahra, 1 tahun, 4 bulan, dan Haris Dzulqarnain 3 tahun, 7 bulan. Pesan emak, walaupun angka membezakan kami, namun ketaatan seorang isteri adalah di sisi suaminya. – Halimatun Saadiah Siban, 38, Kuala Lumpur.

Pengakuan 2

Saya jadi paranoid


SAYA berkahwin ketika usia 18 tahun dengan seorang lelaki yang umurnya 21. Kami hidup bahagia dan dikurniakan seorang anak. Ketika sedang mengecapi kebahagiaan, suami ditangkap polis bersabit kes dadah. Saya pun tak tahu bila dia terjebak dengan dadah kerana kelakuan dia seperti biasa setiap hari.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap suami selepas dia didapati bersalah. Dalam kekusutan itu, saya hilang tempat bergantung. Lebih-lebih lagi saya baru sahaja melahirkan anak sulung kami.

Atas nasihat keluarga, saya mohon cerai taklik. Beberapa tahun selepas itu saya bertemu lelaki yang bezanya 20 tahun dari saya. Kiranya kahwin dengan lelaki tua.

Sebenarnya saya jadi isteri kedua. Tapi tak kisah, sebab sudah jodoh. Lagi pun dia menunjukkan kesungguhan untuk membantu saya selepas mengetahui sejarah silam kegagalan rumah tangga saya.

Tahun pertama, kami bahagia. Begitu juga dengan madu yang boleh menerima saya seadanya. Tiada sebarang konflik antara kami. Tapi, sikap suami yang selalu main kayu tiga menyakitkan hati.

Selama 12 tahun saya bertahan dan sabar dengan dia, tapi sampai bila. Anak-anak pula selalu bertanya kenapa ayahnya sering pulang lambat dan jarang luang masa dengan mereka. Entahlah, tiada jawapan yang terkeluar daripada mulut ini. Rupa-rupanya, madu tahu dan sudah masak dengan perangai suami.

Mujurlah saya ada bisnes restoran. Kesibukan kerja buat saya tidak berapa fikir sangat soal perangai suami. Namun, bak kata orang, kesabaran ada hadnya.

Akhirnya, Apabila sudah tak tertahan, saya minta cerai dengan baik. Mulanya dia enggan lepaskan tapi bila saya terangkan segala yang saya tahu tentang dia, dia terpaksa lepaskan.

Saya sudah penat makan hati. Soal kewangan, ya dia sangat sempurna tapi soal hati, dia lelaki gagal.

Selepas berpisah, saya menyara kehidupan dengan tiga orang anak (anak hasil perkahwinan pertama dan kedua). Perniagaan adakalanya untung adakalanya rugi.

Memang perit juga kehidupan pada masa itu. Tapi kerana anak-anak, saya jadi bersemangat. Selain restoran, perniagaan jualan langsung menjadi pilihan untuk diceburi.

Benar, waktu itu bisnes saya menjadi dan saya dianugerahkan ushawan wanita berjaya dalam syarikat Multi Level Marketing (MLM). Walaupun saya berjaya dan dikelilingi kemewahan, namun hati saya sunyi. Mungkin tiada teman di sisi untuk berkongsi cerita suka dan duka.

Selama 13 tahun lamanya saya menjanda. Sehinggalah pada suatu hari hadir seorang lelaki muda berusia 25 tahun dalam hidup saya. Dia juga terbabit dalam perniagaan yang sama.

Sangat baik hati dan begitu ambil berat pasal saya. Ketika itu, umur saya sudah 43 tahun. Kalau nak diikutkan memang tak nak kahwin kerana takut sejarah akan berulang, tapi inilah jodoh saya.

Sepanjang perkahwinan, tiada cacat celanya hubungan kami. Kami gembira sepanjang masa. Tapi hati saya sentiasa gundah gulana. Cemburu tak tentu pasal. Saya jadi wanita paranoid.

Mungkin sebab kahwin dengan lelaki muda. Dia manis dan mudah mesra. Saya pula sudah berusia. Kadang-kadang kawan-kawan berseloroh kata kami macam anak dengan mak. Tapi dia baik dan tak pernah membezakan semua itu.

Setiap hari saya telefon dan mesej pada suami untuk mengetahui lokasi dia berada. Kadang-kadang dia rimas juga dan sering nasihatkan jangan terlalu emosi. Dia cuma ada saya seorang. Saya cukup terharu. Harapnya ikatan ini kekal selamanya. – Che Sal, 46, usahawan berjaya.

Pengakuan 3

Restuilah cinta kami


ORANG kata jodoh pertemuan itu di tangan ALLAH! Memang benar perbezaan 8 tahun antara kami tidak memberi apa-apa erti. Saya 32, manakala teman lelaki, 24. Teman lelaki sudah menyatakan hasrat untuk merisik sejak beberapa bulan lalu, tetapi ayah menentang, kini saya semakin bingung memikirkan hal ini.

Mengikut kata kekasih, apa lagi yang perlu dia lakukan, bukankah merisik itu sudah menunjukkan dia betul-betul serius dengan hubungan ini.

Namun tidak dipandang pun oleh ayah. Ibu pula, lebih rela membisu, cuma pernah sekali dia mengatakan keputusan saya ini tidak tepat. Katanya, tidak pernah terjadi dalam keluarga berkahwin dengan lelaki jauh lebih muda, bukan setahun dua, lapan tahun. Ibu asyik ulang ayat tu, manakala ayah pula tetap dengan pendirian.

Kadangkala saya rasa tidak adil, niat suci di salah erti, lagipun, saya tidak pernah menyembunyikan hal ini daripada mereka.

Pernah ketika memperkenalkan teman lelaki, mereka menunjukkan sikap dingin, tetapi saya sabar, beranggapan mungkin bukan masa untuk ayah menerima keadaan ini, tetapi memang terkilan dengan kata-kata ayah apabila teman lelaki menyatakan hasrat memperisterikan, boleh pula dia kata, tidak matang, tak sesuai, dan paling sedih dia meramalkan hubungan kami tidak kekal lama dengan alasan apabila usia meningkat, saya akan nampak lebih tua daripada suami!

Kenapa semua itu yang menjadi ukuran? Kenapa semua orang harus mengikut tradisi perkahwinan wanita mesti lebih muda daripada lelaki sedangkan itu bukan menjamin kebahagiaan?

Kini saya hanya mampu berdoa, moga-moga niat suci kami ke jinjang pelamin. Saya yakin jika ditakdirkan dia pasangan sehidup semati, walau apa saja halangan, pasti dimakbul juga. Jauh sekali saya hendak menderhaka dengan melukakan hati ibu bapa. – SALLY, K. Terengganu

Pengakuan 4

Kehidupan sekarang lebih bahagia

USIA perkahwinan kedua menjangkau dua tahun. Walau masih baru, namun terasa bagaikan sudah bertahun-tahun melayari bahtera cinta bersamanya. Nurul Asmawi, suami kedua yang sangat bertanggungjawab dalam semua aspek. Biarpun usianya muda daripada saya iaitu 27 tahun, tapi dia cukup matang dan sempurna.

Benar, saya sangat mencintai dirinya. Anak pun, Nurul Atieqa sudah dapat menerima dia sebagai bapa tiri. Memang saya cukup bahagia sekarang.

Namun begitu, untuk menerima kebahagiaan itu bukanlah semudah yang disangka. Saya masih ingat, ketika zaman bercinta dulu, dia sukar terima kenyataan yang saya janda beranak satu. Tapi kerana cinta dan sayangnya dia pada saya, semua itu di tolak ke tepi.

Awal pertunangan, macam-macam dugaan yang menimpa kami. Sikapnya yang peramah kadangkala membimbangkan saya. Ramai kenalan wanita suka berkawan sebab dia baik, tapi dia sudah beritahu awal-awal pada saya bahawa semua itu sekadar teman.

Perasaan cemburu memang ada pada semua wanita namun mungkin saya lebih berusia jadi cemburu itu menebal berbanding wanita lain. Mengenai keluarga sebelah suami pula, saya benar-benar bersyukur kerana mereka dapat terima saya dan anak dengan baik sekali. Status janda bukan halangan untuk mereka terima saya sebagai sebagai menantu.

Tentang bekas suami pertama, sebolehnya saya tidak mahu mengenangnya lagi. Cukuplah apa yang boleh saya katakan bahawa tiada jodoh antara kami. Mungkin ini yang terbaik. – Mastura Rahmat, 31, jurusolek profesional, Klang.

Pengakuan 5

Cinta itu buta


CINTA itu buta, dan kalau hati sudah terpaut, tiada siapa boleh menghalang. Begitu juga dengan saya. Berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda di luar kotak pemikiran, namun siapa sangka, suami berusia 35 tahun (duda tanpa anak), manakala saya dah mencecah 50, tahun ini.

Kami bernikah di selatan Thai setahun lalu tanpa pengetahuan ibunya. Ibunya sangat mengenali saya dan sahabat saya sendiri. Kami mengenali dan sempat bercinta setahun.

Perkara ini di luar pengetahuan ibunya yang juga rakan kongsi saya dalam perniagaan. Saya terpikat dengannya kerana kematangan dalam membantu ibunya menguruskan perniagaan begitu juga tanggapan dia kepada saya. Pendek kata, banyak persamaan antara kami berdua.

Dek menjaga persahabatan saya dan ibunya, orang kata biarlah rahsia ini pecah di perut jangan sampai di mulut!. Tentang hubungan ini, biarlah masa yang menentukan. Berkahwin tanpa pengetahuan kawan saya itu tidak begitu membimbangkan saya sebaliknya, ada sesuatu yang lebih berat untuk saya tanggung sendiri. Suami ingin kahwin lagi!

Anak dijadilan alasan suami untuk memadukan saya. Katanya, tidak lengkap kehidupan suami isteri tanpa kehadiran anak. Luluh hati bila dikhabarkan berita itu Saya diberi kata dua; mengikut kata suami dengan menandatangani surat kebenaran atau tidak, atau dia tetap berkahwin tanpa kebenaran saya. Hujung tahun ini atau awal Januari tahun hadapan.

Paling menyedihkan, suami jenis panas baran. Ketika ini, mahu saja saya mengadu kepada kawan baik saya, iaitu, ibunya, untuk berkongsi suka dan duka, namun itu bukan jalan terbaik kerana dari perkhabaran yang saya dengar, ibunya juga tidak suka dengan wanita yang bakal menjadi madu saya itu.

Sungguh besar ujian ALLAH, mampukah saya menjadi wanita yang sabar dan terdiri dalam kalangan yang mendapat ganjaran payung emas di akhirat kelak, hanya kepada ALLAH saya berserah. Moga-moga ada sinar di sebalik kekusutan ini. – Mummy Zaireen, Kuala Lumpur.


-sinarharian- www.panduankeluargabahagia.blogspot.com

Patutkah Saya Berkahwin Awal....

0

Patutkah Saya Berkahwin Awal?

Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. 

Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. 

Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. 

Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. 

Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. 

Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. 

Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Persediaaan Kahwin Muda

1

PERSEDIAAN KAHWIN MUDA & CARA BERHADAPAN DENGAN IBU BAPA

silakan share lepas baca tips ni..

Berikut adalah 10 tips-tips yang boleh anda cuba ikuti :-

1- Anda harus menonjolkan akhlak dan peribadi yang baik kepada ibubapa, adik-beradik, saudara mara serta orang sekeliling. Sahsiah diri yang terpuji mampu meyakinkan ibubapa untuk ‘melepaskan’ anda ke dunia lain yang lebih mencabar iaitu perkahwinan.

2- Tunjukkan kematangan anda dalam setiap pekerjaan yang anda lakukan. Baik dari segi membuat keputusan mahupun dalam berfikir dan bertindak. Kematangan dalam kepimpinan juga penting bagi lelaki yang ingin mendirikan rumahtangga seawal usia yang muda.

3- Jaga ibadah dan amalan sebagai seorang Muslim yang baik. Lakukan amalan wajib dengan sempurna dan tingkatkan amalan-amalan sunat yang lain sebagai persediaan rohani sebelum bergelar pasangan suami isteri.

4- Beritahu keluarga dan orang-orang terdekat anda bahawa perkahwinan yang bakal anda dirikan bukanlah berlandaskan nafsu semata-mata. Akan tetapi perkahwinan yang anda ingin dirikan adalah sebagai memenuhi salah satu tuntutan ibadah dan tanggungjawab seorang Muslim.

5- Anda juga perlu menunjukkan sedikit sumber pendapatan yang anda miliki sekarang bagi meyakinkan ibubapa anda untuk anda berumahtangga. Sumber tersebut adalah seperti gaji bulanan, side income serta simpanan anda terdahulu. Bagi yang masih belajar, usahakan untuk mencari side income sendiri dengan melakukan kerja-kerja luar (part-time) ataupun berniaga sendiri secara kecil-kecilan. Ini penting sebagai keyakinan kepada ibubapa bahawa anda mampu untuk menganggung pasangan seawal usia muda.

6- Buat pasangan yang masih belajar, letakkan usaha dan ilmu di tahap yang tertinggi. Pastikan perancangan anda untuk mendirikan perkahwinan tidak mengganggu pelajaran dan fokus anda sebagai pelajar. Fahamkan pasangan dan ibubapa tentang komitmen utama anda. InsyaAllah mereka akan menyokong dengan baik.

7- Jalankan tugas dan tanggungjawab anda dengan lebih baik dari kebiasaan bagi 'membeli' kepercayaan dan keyakinan ibubapa dan pasangan yang anda mampu menjalankan tanggungjawab sekiranya berkahwin kelak.

8- Anda perlu bijak dalam melakukan perbincangan bersama keluarga bagi menyatakan hasrat anda berkahwin seawal usia yang muda. Cari mood yang baik dan pastikan kesemua tips-tips di atas sudah dipenuhi. Bawa berbincang dan tunjukkan kesungguhan anda dalam perkara ini. Ambil hati ibubapa anda supaya mereka dapat mendengar dengan baik dan tidak membantah. Minta juga nasihat dan pendapat dari mereka.

9- Sekiranya cadangan dan permintaan anda ditolak, jangan berputus asa. Teruskan usaha dan tunjukkan kesungguhan yang mendalam terhadap perkara ini. InsyaAllah lama-kelamaan keyakinan dan kepercayaan ibubapa anda akan datang dan mereka sendiri akan menanyakan semula permintaan anda untuk berkahwin. Terus berdoa usaha dan tawakal.InsyaAllah.

percayalah Bercinta Selepas Nikah itu sangat indah 


www.panduansuamisteri.blogspot.com