Showing posts with label Tips untuk Ibubapa. Show all posts

Petua Untuk Lelaki Yang Bakal Menjadi Bapa

1

1 .Biasakan berjaga malam. Tiada alasan untuk tidur nenyak dan berdengkur sepanjang malam. Jangan mengharapkan isteri anda sahaja untuk berjaga. Sebaliknya tunjukkan kesungguhan anda untuk bangun bersama dan beri perhatian kepada anak anda yang baharu lahir.

2 - Kejutan kasih sayang. Inilah detik terbaik untuk melakukan kejutan terbesar buat isteri yang telah berkorban bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat anda. Apa kata anda pula yang mengambil peranannya ketika isteri dalam pantang. Mungkin anda boleh mulakan dengan menyediakan sarapan, membantu isteri menguruskan dirinya, menyediakan keperluan si bayi dan sesekali hadiahkan bunga tanda kasih sayang.

3 - Ringan tulang. Jika sebelum lahirnya si kecil, anda dimanjakan oleh isteri. Kali ini, anda harus beralah dan mengambil alih peranan menjaga isteri dan anak. Memadailah dengan membantu menyediakan makanan, membasuh pinggan atau mengasuh si kecil.

4 - Sedia untuk kotorkan diri. Terimalah hakikat bahawa anda harus membersihkan najis bayi dan belajar memakaikan lampinnya. Fikirkan bapa anda juga dahulu pernah melakukan perkara yang sama ketika anda masih kecil dahulu. Mungkin agak kekok pada permulaannya, namun, alah bisa tegal biasa.

5 - Dapatkan petua orang tua. Ketepikan ego serta sikap tahu seba-serbi. Sebagai bapa yang masih muda, anda perlu mendapat banyak nasihat dan petua daripada orang yang lebih berpengalaman. Guru terbaik untuk mendapatkan maklumat ialah ibu bapa serta saudara-mara atau kenalan yang lebih arif mengenai soal penjagaan bayi dan kanak-kanak. Tidak perlu malu kerana maklumat yang diberi akan memudahkan urusan menjaga si kecil.

6 - Sediakan pengasuh. Jika mampu, dapatkan pengasuh untuk meringankan tugas anda dan isteri di rumah. Pengasuh bukan sahaja boleh menguruskan isteri yang sedang berpantang, malah pada masa yang sama boleh menjaga si bayi yang memerlukan perhatian hampir 24 jam sehari.

7.- Belajar berhadapan dengan tekanan. Bohonglah jika anda tidak tertekan terutamanya apabila tiba saat si comel 'mengamuk' atau menangis tanpa henti. Jika waktu siang, mungkin anda tidak terasa, tetapi di kala tengah malam, tentu haru biru anda dibuatnya. Usah panik, uruskan saat itu dengan tenang dan penuh motivasi. Selidik punca bayi menangis, mungkin kerana kembung perut atau berasa panas atau mungkin juga kesejukan. Belajarlah bersabar!

9 - Kawal nafsu. Sudah namanya lelaki, tidak dapat tidak, nafsu selalu bsergelora. Jangan gelojoh dan akurlah pada detik yang sesuai untuk bersama isteri dalam hubungan intimasi. Fikirkanlah yang isteri anda sudah bersusah-payah menggendong si kecil ke sana ke sini selama 9 bulan 10 hari tanpa keluh kesah dan kini dalam pantang pula. Tentulah mengambil masa untuk pulih seperti sedia kala. Fikirkan juga yang kini ada orang ketiga yang harus diutamakan.

10 - Pastikan tabungan mencukupi. Ayah muda perlu memastikan tabungan sentiasa mencukupi bagi menghadapi saat-saat kecemasan terutamanya bila membabitkan si kecil yang mungkin diserang demam serta perlu mendapatkan rawatan segera di hospital. Peruntukan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk memenuhi keperluan kecemasan si kecil dan isteri sepanjang bergelar ayah. Apabila anak-anak anda sudah semakin membesar, peranan seorang ayah semakin bertambah.


www.ibubapamithali.blogspot.com

Tips Menasihati Anak-Anak

2

TIPS MENASIHATI ANAK-ANAK...

Shalih bin Amir menceritakan, pada suatu ketika terdapat seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang sangat nakal. Dia sering bermain dan keluar pada waktu malam. Si anak yang nakal itu juga sering berkumpul bersama rakan di sekitar Kota Madinah. Melihat keadaan begitu, si ibu tidak bosan-bosan menasihati anaknya supaya menjadi anak yang baik.

Kata si ibu,“’Wahai anakku, ingatlah dan renungkanlah bencana yang menimpa orang sebelummu yang mereka sudah lupa diri, tidak sedar untuk kembali ke jalan lurus. Insaflah wahai anakku. Apakah akan terjadi jika dirimu terus-menerus seperti begini, menganggur dan keluar tanpa tujuan. Dirimu akan mati pada saatnya nanti. Perbaikilah kelakuan burukmu, wahai anakku.”

Begitulah tanpa rasa bosan di hati si ibu menasihati anaknya, namun belum menampakkan hasilnya. Kelakuan anaknya tetap tidak berubah.
Dilanjutkan kisah dikatakan pada Ramadan, datanglah seorang pendakwah dari Hijaz yang bernama Abu Amir al-Bannan. Dia dipelawa untuk menyampaikan ceramah di Masjid Rasulullah dan permintaan itu dipenuhinya. Pada malam Jumaat selepas solat tarawih, pengajian agama dimulakan.
Orang ramai mendengar isi ceramahnya dengan penuh khusyuk. Dalam ceramahnya, Abu Amir menggunakan pendekatan membawa khabar gembira dan ancaman. Dengan penuh gaya dan mimik muka yang ditunjukkan sangat menyentuh hati orang mengikuti pengajiannya. Apabila dia mengatakan mengenai syurga, raut wajahnya penuh gembira dan sebaliknya tatkala menceritakan keadaan di neraka, wajahnya kusut, muram dan seakan-akan gelisah.

Dalam kelompok orang ramai yang mengikuti ceramah yang disampaikan Abu Amir ialah anak wanita yang nakal tadi. Dia nampak terdiam apabila melihat dan mendengar isi kandungan ceramah Abu Amir. Dengan ekspresi muka Abu Amir dalam penceritaan mengenai neraka dan syurga itu rupa-rupa banyak menyedarkan anak nakal itu.

Sejak itu anak nakal itu mulai berubah dan sudah rajin menunaikan solat dan berkelakuan baik. Si ibu begitu bersyukur kerana anaknya mendapat hidayah Allah dan kembali ke jalan suci.

PENGAJARAN:

1. jangan cepat berputus asa dalam menasihati anak dalam aspek agama dan membina akhlak. Ibu bapa semestinya terus beristiqamah melakukannya demi menyelamatkan anak daripada terjerumus ke lembah hina yang dimurkai Allah.

2. ibu bapa seharusnya bersikap sabar dengan kerenah anak dan anggaplah fenomena demikian sebagai ujian Allah kepada kita.

3. dalam memberikan pengajaran berupa nasihat, kaedah penceritaan dan mimik muka yang sejajar dengan jalinan isi kandungan pengajaran akan memberikan impak positif kepada orang yang mendengar dan melihatnya.

4. ibu bapa seharusnya memberi penekanan dalam aspek pergaulan anak. Membiarkan anak lepas bebas tanpa nasihat dan kawalan akan mengakibatkan mereka dengan mudah terpengaruh anasir negatif.

-dan yang pling penting skali adalah DOA...sama-samalah kita mendoakan anak kita supaya berjaya di dunia dan di akhirat.