10 persediaan penting bagi lelaki sebelum bernikah
0
1.
Memiliki aqidah yang sahih
Aqidah
yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang hamba
dan Allah SWT yang terjalin secara benar dan sah disisi agama melalui pertunjuk
Al-Quran dan As-sunnah yang sahih. Hal ini menjadi asas dan perkara yang paling
penting dan utama dimiliki oleh seorang muslim sebelum melakukan sebarang
urusan keagamaan yang lain.
Firman
Allah SWT : “Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan
wanita-wanita mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang
mukmin itu adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik, walaupun dia
menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak kamu ke
syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Al-Baqarah : 221)
Sebelum
bernikah dan mendirikan rumahtangga maka hendaklah seseorang anak muda atau
lelaki itu berusaha membersihkan aqidahnya dari sebarang kesalahan dan
kesilapan dan berusaha memperkukuhkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah
SWT menurut ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
Buah
dari aqidah yang benar ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih daripada
syirik dan kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum memasuki gerbang
pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli keluarga terselamat dari
kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.
2.
Mempunyai tujuan dan perancangan hidup
Perkahwinan
ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup seseorang. Apa
yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi pasangan dan hidup
bersama secara halal. Perkahwinan tidak akan mengubah hidup seseorang menjadi
lebih baik atau lebih buruk sebaliknya perkahwinan adalah alat yang bergantung
kepada cara seseorang itu menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.
Daripada
Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar rasulullah
salallahu alaihi wasalam bersabda : “Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat
dan setiap amalan itu dibalas menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang
berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan
rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan
diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu
ialah kepada apa yang diniatkan olehnya.” (hadith riwayat Muslim)
Seperti
kereta ia adalah kenderaan yang boleh dipandu ke mana-mana yang kita mahu
tetapi kitalah yang mesti menetapkan arah tuju dan destinasinya. Kereta itu
tidak boleh bergerak sendiri atau membawa kita ke mana-mana jika kita tidak memandunya
atau tidak mengetahui arah tuju yang harus diambil. Perkahwinan ialah seperti
kereta yang tidak akan bergerak ke mana-mana tanpa mempunyai hala tuju dan
matlamat yang jelas.
Maka
adalah penting bagi suami dan seorang bapa untuk memimpin keluarganya menuju ke
sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan perkahwinan dan
keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu sebelum melangsungkan pernikahan
hendaklah dipastikan kita memiliki matlamat dan tujuan jelas yang mahu dicapai
dari perkahwinan ini agar ianya dapat membantu kita memimpin dan memandu
perkahwinan menuju ke matlamat yang dimahukan.
3.Mempunyai
asas kekuatan jiwa dan kawalan diri
Kekuatan
jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh seseorang yang
dapat menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat menghadapi dugaan dan
cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa yang paling mustahak untuk
dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah
seperti kesabaran dan kawalan diri dari melakukan perkara yang tidak
sepatutnya.
Kita
perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang tinggi
dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah bergantung kepada
sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam mengawal diri. Jika suami
seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal mengawal diri maka banyak bahaya dan
kemudharatan dikhuatiri akan menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan
kehancuran rumahtangga dan pelanggaran hukum Allah SWT.
Daripada
Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :
لا
ضرر ولا ضرار
“Tidak
boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan
(melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis hasan riwayat Daruquthni, Al-Hakim
dan Baihaqi)
Adalah
haram menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudharatan terhadap
dirinya atau dalam keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk memenuhi
keperluannya sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat kepada agama, nyawa,
akal dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh Islam. Oleh yang demikian
persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri sebelum berkahwin ialah wajib
dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar diri mereka layak menjadi pemimpin dan
ketua keluarga yang berkemampuan menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga
mereka.
4.
Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
Tidak
ada petunjuk selain petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan petunjuk tersebut hanya
akan dapat diperolehi jika kita mampu membaca dan memahami isi kandungan kitab
Allah SWT dan sunnah rasul-Nya. Sebagai ketua keluarga, lelaki Muslim
bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah SWT dan menyelamatkan
mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.
Firman
Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu
dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.”
(At-Tahrim : 6)
Adalah
menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan untuk
memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu membaca kitab Allah
dan boleh merujuk kepada sunnah rasululullah salallahualaihiwassalam.
Sekurang-kurangnya dia mampu menguasai bacaan Al-Quran dengan baik dan boleh
menjadi Imam dalam keluarganya, mampu membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab
tafsir atau kitab terjemahan untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah
SWT dan mengambil pelajaran daripadanya.
Juga
dia mampu untuk membaca hadith-hadith rasulullah salallahualaihiwassalam dan
boleh mencari rujukan dan pelajaran dari hadith-hadith tersebut walaupun dengan
bantuan kitab-kitab terjemahan dan buku-buku hadith yang ringkas seperti hadith
40 karya Imam Nawawi atau Riyadhus Solihin bagi mengajarkan ahli keluarganya
kehidupan menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.
5.
Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)
Seorang
lelaki yang telah mukallaf dan berhasrat untuk bernikah wajib mengetahui
perkara yang halal dan haram dalam agama serta cara untuk menunaikan ibadah
kepada Allah SWT yang disebut sebagai ilmu fardhu ain sebelum dirinya layak
untuk bernikah dan menjadi ketua keluarga. Hal ini amat penting kerana tanpa
mengetahui apa yang halal dan haram, bagaimana dia akan mampu untuk membimbing
isterinya dan menunaikan kewajipannya sebagai suami mahupun sebagai hamba Allah
?
Hubungan
suami isteri seperti apa yang dibenarkan dan diharamkan, cara bersuci, cara
solat dan seluruh perkara yang melibatkan halal dan haram menurut Islam perlu
diketahui oleh seorang mukallaf sebelum menjejakkan kakinya ke alam
perkahwinan.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud : “Yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf
dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka
segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang
dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka”. (Al-A’raf
: 157)
Apa yang perlu diketahui oleh seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah perkara-perkara asas dan hukum halal dan haram yang telah jelas dari Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini tidak semestinya dihafal atau dikuasai di dalam kepala tetapi bermaksud dia mampu mencari rujukan, membaca buku atau boleh mendapatkan pengetahuan tentang halal dan haram apabila berdepan dengan sesuatu situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim itu bersedia dan mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk menuntut ilmu dan mencari petunjuk.
6. Mempunyai kesihatan yang baik
Kesihatan
yang baik ialah merupakan perintah agama dan menjadi salah satu sifat dan kelebihan
kepada orang yang beriman. Islam amat mementingkan penjagaan makan, kesihatan
diri seperti kebersihan dan kecergasan badan. Ini boleh dilihat di dalam sebuah
hadith yang menyebut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Orang mukmin yang
kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang
lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Persediaan
kesihatan sebelum bernikah bermaksud menjaga diri daripada penyakit berjangkit,
virus dan kuman berbahaya serta apa-apa yang boleh memudharatkan pihak isteri
dan keluarga yang akan dibina. Selain daripada itu hendaklah seorang lelaki
muslim menjaga kesihatannya seperti bersenam, menjaga pemakanan agar dirinya
tetap sihat dan segar untuk pernikahan dan tidak menjadi beban kepada keluarga
atau isterinya selepas bernikah.
Ada
orang yang tidak menjaga kesihatannya sehingga mendapat penyakit berbahaya dan
menyusahkan seperti jantung, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Hal
ini akan menganggu hubungan suami isteri dan menjadi beban dalam perkahwinan
apabila ianya tidak dijaga dan diselia dengan baik. Kesihatan adalah rezeki dan
anugerah daripada Allah SWT tetapi hendaklah dicapai dengan usaha dan disiplin
diri dalam menjaga makan dan minum serta rajin bersenam dan memelihara
kebersihan diri.
7.
Mempunyai pengetahuan tentang seks dan mampu melakukannya dengan betul
Hubungan
seks ialah salah satu di antara tujuan penting perkahwinan iaitu untuk
memuaskan fitrah dan nafsu di jalan yang halal. Oleh yang demikian mana-mana
pasangan yang hendak mendirikan pernikahan perlulah mengetahui ilmu asas dan
persediaan untuk memenuhi fitrah masing-masing secara halal dan baik serta
bersedia baik dari segi fizikal dan emosi.
Sebagai
seorang lelaki muslim, dia perlu bersedia untuk memenuhi keperluan fitrah
dirinya dengan cara yang betul dan bersedia untuk memenuhi keperluan isterinya
pula dengan cara yang baik dan berkesan. Persediaan itu termasuk mengetahui
biologi dan fitrah wanita seperti kitaran haid, penyakit-penyakit kelamin
seperti masalah keputihan, isu hubungan badan seperti ransangan dan
membangkitkan rasa ghairah sebelum jimak agar tidak wujud kesakitan kepada
pihak isteri dan mampu menjadikan hubungan seks sebagai nikmat dan kegembiraan
bukan masalah dan kesedihan.
Syeikhul
Islam, Ibn Taimiyyah ra menyebutkan bahawa hendaklah seorang suami itu
melakukan hubungan seksual dengan isterinya menurut cara yang mampu memenuhi
keperluan isterinya selama ianya tidak membawa mudharat kepada fizikalnya.
Dalam
hal ini para lelaki Muslim hendaklah bertanyakan kepada orang tua atau mereka
yang arif tentang petua dan panduan yang boleh membantu mereka melayari
perkahwinan dan memberi kepuasan kepada pihak isteri.
Dari
‘Ummul Mu’minin ‘Aisyah ra berkata: Rasulullah Salallahualaihiwassalam bersabda
: “Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan
aku adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya.” (Riwayat tirmidzi)
Keperluan
seksual lelaki dan perempuan adalah berbeza serta cara masing-masing mencapai
nikmat dan keseronokan juga adalah tidak sama maka hendaklah pihak lelaki dan
bakal suami mempelajari dan menguasai pengetahuan ini agar dapat memberikan
layanan yang terbaik kepada isteri masing-masing.
8.
Mempunyai pekerjaan dan pendapatan serta tempat tinggal
Termasuk
diantara syarat-syarat asas untuk mendirikan rumahtangga ialah pihak suami atau
lelaki itu mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan memenuhi keperluan
asas keluarganya serta menyediakan tempat tinggal yang selamat.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud : “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu
tinggal menurut kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk
menyempitkan (hati) mereka.” (At-Talaq : 6)
Tidak
disyaratkan untuk memiliki rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah ianya
mampu melindungi keselamatan isteri dan auratnya serta dapat memberikan
perlindungan dari hujan dan panas serta tidak memudharatkannya untuk menetap di
dalamnya.
Oleh
yang demikian maka para lelaki Muslim dan bakal suami hendaklah memiliki
pekerjaan dan pendapatan yang mampu untuk membiayai sara hidup dan kehidupan
isterinya bersama keluarga sebelum mendirikan pernikahan dengan cara bekerja
atau berniaga.
Hal
ini kerana Islam mementingkan persediaan dan pekerjaan bersungguh-sungguh bukan
hanya meminta-minta dan mengharapkan bantuan atau sedekah tanpa usaha gigih
yang bercanggah dengan sikap Islam.
Firman
Allah SWT : “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang
untuk mencari penghidupan (sara hidup dan rezeki).” (An-naba : 10-11)
Diriwayatkan
dari Zuba’ir bin Al Aawam dari Nabi SAW yang bersabda dengan bermaksud:
“Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk
mencari kayu, kemudian dia memikul kayu tersebut untuk ke pasar dan menjualnya
demi menjaga kehormatannya, maka nescaya hal yang demikian itu adalah lebih
baik baginya daripada perbuatan meminta-minta kepada orang lain, baik dia
diberi atau pun ditolak.” (Hadith riwayat Bukhari)
9.
Memiliki kekuatan untuk menjaga dan melindungi keselamatan isteri dan keluarga
Islam
menjadikan lelaki sebagai pemimpin wanita kerana kekuatan dan kelebihan yang
ada pada kaum lelaki untuk memelihara dan melindungi wanita. Sebelum bernikah,
seseorang wanita itu akan berada dibawah pemeliharaan walinya yang
bertanggungjawab ke atasnya. Namun apabila dia sudah menikah maka tugas untuk
melindungi dan menjaga keselamatan dirinya, agamanya dan memelihara dirinya
daripada bahaya dan fitnah adalah terletak di atas bahu suaminya.
Daripada
Abdullah ibn Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah
bersabda : “Dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu.” (Hadith sahih
riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh
yang demikian hendaklah bakal suami dan lelaki muslim yang akan bernikah
bersedia menyiapkan diri dengan kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental serta
persediaan yang perlu untuk melindungi isterinya daripada bahaya dan gangguan
manusia dan syaitan.
Nabi
SAW bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang
dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana
membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid,
dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya
adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya
daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid.” (Hadith riwayat Abu Daud
dan Tirmidzi)
Di
dalam hadith di atas menyebutkan bahawa mempertahankan keluarga termasuk di
antara penyebab kepada mati syahid sebagai menunjukkan bahawa ianya adalah
kewajipan dan tugas yang besar di sisi agama. Untuk melaksanakan tugas
mempertahankan keluarga seperti yang disarankan oleh hadith di atas maka
hendaklah lelaki Muslim atau bakal suami itu memiliki kekuatan dan persediaan.
Kekuatan
di sini bukan sahaja bermaksud kekuatan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan
kebijaksanaan serta kemampuan baik dari sudut kewangan, kepandaian atau
memiliki hubungan ramai dengan pihak yang mampu menghulurkan bantuan untuk
membantu melindungi isteri dan keluarganya daripada sebarang bahaya dan fitnah.
10.
Memiliki kemahiran asas dalam hidup
Rumahtangga
ialah seperti kenderaan yang tidak berguna jika kita tidak tahu memandunya atau
tidak tahu ke mana mahu dituju dengannya. Oleh yang demikian adalah penting
bagi seorang pemandu yang mahu memandu keluarganya agar tahu dengan selok-belok
kehidupan serta mempunyai kemahiran yang asas dalam pelbagai pengetahuan hidup
seperti komunikasi, pertukangan, memperbaiki perkakasan rumah dan elektrik,
menyelia kenderaan dan automotif atau mampu mengendalikan kecemasan dan rawatan
cemas apabila diperlukan.
Hidup
ini adalah misteri dan penuh dengan ujian dan dugaan. Kita haruslah
mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang boleh membantu kita di dalam
mendepani cabaran kehidupan apabila tibanya saat-saat yang memerlukan. Malang
tidak pernah berbau seperti kata orang maka tidak rugi bahkan menjadi kewajipan
untuk memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua kemahiran asas dalam hidup yang
dapat menjadi bekalan dalam memimpin keluarga dan rumahtangga.
Baginda
rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri amat mengalakkan umatnya belajar
menunggang kuda, berenang dan memanah di zaman baginda. Pada hari ini kemahiran
yang penting ialah seperti kemahiran IT, kaunselling, motivasi dan kemahiran
pertukangan dan memperbaiki alatan elektrik dan menyelia kenderaan jika rosak
di tengah jalan.
Antara
kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran mendidik
isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk para isteri dan
anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan. Komunikasi boleh memberi
kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan
diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula boleh memberikan manfaat
kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti pengetahuan tentang kesihatan dan
perubatan boleh membantu keluarga apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.